Ahad, 3 Oktober 2010

Galas: PAS tak kira siapa pengarah p’raya Umno BN

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menegaskan PAS memasuki pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas nanti tanpa mengira siapa yang menjadi pengarah jentera pilihan raya Umno BN.

“Yang kita concern dan usahakan sekarang ialah persiapan kita. Apabila kita lawan, kita bersiap, dan mereka bersiap, namun persiapan kita dilakukan dengan semaksimum mungkin, insya Allah.

“Persiapan kita adalah persiapan untuk berdepan dengan Umno BN dalam pilihan raya. Ini kerana kita merasakan asas demokrasi itu harus dilangsungkan dan kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan,” katanya.

Beliau turut mengulas dakwaan bahawa Umno BN akan menggunakan teori memperalatkan jentera kerajaan seboleh mungkin bagi mencapai kemenangan dalam PRK Dun Galas nanti.

“Dan tindakan itu sudah pun bermula. Jadi benda ni tidak pelik dalam konteks demokrasi politik yang ada di Malaysia ini.

“Namun walau pun mereka memperturunkan banyak ‘pasukan keselamatan’, itu benda yang kita tidak merasa hairan langsung, tidak langsung menghairankan kami,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Malaysia Cawangan Kelantan di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menaruh keyakinan bahawa PAS mampu mempertahankan kerusi Dun Galas dalam pilihan raya kecil nanti.

Katanya, itulah perjuangan yang akan dilangsungkan sebagaimana dibuktikan PAS dalam banyak pilihan raya yang dimasukinya dengan memperlihatkan sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat (PR) terus meningkat.

Beliau yakin bahawa trak record PAS di Kelantan serta peranan yang dimainkan Allahyarham Chek Hashim Sulaima merupakan aset yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil nanti.

“Ada banyak isu yang akan dibangkitkan nanti. Kita masuk pilihan raya itu dengan kekuatan yang ada pada kita, dengan trak record yang telah kita miliki, dengan penuh keyakinan, insya Allah, ” tegasnya.

Tiada ulasan: