Jumaat, 8 Oktober 2010

DUN Galas: Kelantan mungkin isytihar 4 Nov cuti

BERNAMA

KOTA BAHARU – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau kemungkinan akan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 4 November untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata perkara itu sedang dipertimbangkan disebabkan tarikh tersebut jatuh pada hari Khamis yang merupakan hari bekerja.

Nik Aziz (gambar) yang juga Mursyidul Am Pas berkata, hasratnya ialah untuk memudahkan pengundi keluar mengundi terutama bagi penduduk di kawasan terpencil.

Katanya beliau juga kesal dengan tarikh itu yang jatuh pada hari bekerja dan sepatutnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbincang dengan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan hari bekerja dan urusan dengan orang ramai.

“Tindakan yang dibuat oleh SPR itu boleh menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan di sini, hari ini.

SPR mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu akan diadakan pada 26 Oktober, dan jika ada pertandingan pilihan raya ditetapkan pada 4 November.

Kerusi kawasan Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 September lepas.

Tiada ulasan: