Jumaat, 1 Oktober 2010

AGM PKR: JPP jamin pemilihan esok, Ahad berjalan lancar


KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan perjalanan pemilihan parti itu yang akan berlangsung hujung minggu ini — esok dan Ahad — dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan campur tangan pihak luar.

Ketuanya Dr Molly Cheah berkata pihaknya telah memanggil semua calon dan pemimpin parti di setiap peringkat cabang untuk bekerjasama dengan JPP.

“Kita telah meneliti masalah yang berlaku sebelum ini dan kita akan memastikan perjalanan pemilihan parti hujung minggu ini dapat berjalan dengan lancar.

“Kita juga telah meminta semua calon dan pemimpin parti untuk memberikan kerjasama. Kita juga memanggil Sekretariat Keadilan dan sukarelawan untuk bekerjasama,” katanya dalam satu kenyaataan hari ini.

Cheah (gambar) berkata pemilihan parti di peringkat cabang akan berakhir pada hujung minggu ini.

“Mesyuarat agung tahunan dan pemilihan peringkat cabang akan berakhir pada minggu ini.

Mesyuarat agung ini akan berlangsung di 38 cabang dan pemilihan pula di 23 cabang termasuk Selangor (14), Sarawak (empat), Johor (dua), Sabah (satu), Kedah (satu) dan Pulau Pinang (satu).

“Selain itu, beberapa masalah logistik yang berlaku di beberapa cabang minggu lalu akan diatasi.

“Masalah ini terjadi kerana ahli tidak biasa dengan sistem baru yang diperkenalkan parti,” katanya.

Minggu lalu beberapa kekecohan telah berlaku di beberapa cabang termasuk cabang Klang, Kapar dan Kuala Langat.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata kekecohan yang berlaku itu dipercayai akibat langkah pihak-pihak yang telah kecewa mahu memburukkan nama anggota gabungan Pakatan Rakyat itu.

Saifuddin berkata, partinya ada menerima rakaman video dan gambar menunjukkan kekecohan di bahagian-bahagian terbabit.

Beberapa dalang kejadian itu dilihat meraikan tindakan mereka merosakkan peti-peti undi, kata beliau.

Katanya, laporan awal yang diterima JPP menunjukkan insiden semalam disebabkan oleh mereka yang bukan ahli.

PKR, parti pelbagai kaum terbesar di negara ini, meminda perlembagaan tahun lalu bagi membolehkan ia mengadakan pemilihan langsung membabitkan 400,000 ahlinya.

Tiada ulasan: