Khamis, 22 April 2010

Umno-BN Lulus Usul Rujuk Anwar, Pakatan Rakyat Desak Tarik Balik

Oleh Faizal Ezzany


KUALA LUMPUR - Seperti yang dijangka Parlimen yang dikuasai Umno-Barisan Nasonal meluluskan usul untuk merujuk Ketua Pembangkang kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu hubungan Apco Worldwide dan konsep 1Malaysia sebentar tadi.

Sebelum itu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendesak agar usul menghadapkan Ketua Pembangkang itu ditarik balik serta merta.

Beliau yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa Parlimen menegaskan fakta yang yang di kemukakan oleh Ketua Pembangkang berhubung isu hubungan Apco Worldwide dengan Zionis Israel adalah jelas.

"Saya mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menarik balik usul tersebut kerana bagi saya tidak ada fakta yang mengelirukan Dewan.

"Usul yang dikemukakan ini jelas tidak tepat dengan apa yang dibincangkan sebelum ini dan ia lebih tertumpu untuk mengheret Ketua Pembangkang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan agar dikenakan hukuman. Bagi saya jelas ia tidak mengandungi apa jua kesalahan yang boleh menyebabkan Anwar dihukum.

"Apakah salah bahawa Apco ini menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang gagasan 1Malaysia, jika tidak betul jelaskan dakwaan tersebut. Semua orang tahu memang benar Apco menjadi penasihat kepada gagasan 1Malaysia, lainlah kalau Umno tak mengakui Najib itu Perdana Menteri," tegas Mahfuz dalam Dewan.

Beliau juga menjelaskan dakwaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh bukan satu pembohongan yang boleh mengelirukan Dewan kerana beliau mempunyai bukti yang kukuh.

"Mana ada pembohongan terhadap hujah Ketua Pembangkang sebelum ini, semua bukti ada. Apa yang mengelirukan Dewan?

Tindakan kerajaan ini jelas ingin menutup mulut Anwar agar isu Apco tidak lagi dibincangkan," kata beliau lagi.

Dalam nada sinis, Mahfuz memberitahu terdapat keanehan dalam perbahasan kali ini yang mana Umno sahaja yang bersungguh-sungguh mempertahankan Apco.

"Saya rasa sangat pelik telah berlaku dalam Dewan sekarang ini, kita dapat lihat Umno sahaja yang bersungguh-sungguh mempertahankan Apco sedangkan parti komponen Barisan Nasional yang lain nampaknya dah tak pegang prinsip 1Malaysia ataupun dalam BN dah ada dua penasihat satu dari Apco dan satu lagi tak tahu dari penasihat yang mana," kata Mahfuz.

Sebelum itu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang turut serta dalam perbahasan tersebut menegaskan mengapa Kabinet mesti membuat keputusan.

"Campurtangan Kabinet adalah pencabulan jelas berhubung pemisahan kuasa, kenapa perlu pembabitan Kabinet dalam isu berkenaan mengheret Anwar Ibrahim.

"Mengapa begitu buruk mengatakan 1Malaysia diciplak dari One Israel, saya sendiri mengatakan 1Malaysia diciplak dari Malaysian Malaysia. Adakah saya akan dirujuk ke jawatankuasa itu?" soal Kit Siang.

Kit Siang menjelaskan lebih banyak Umno-BN mendakwa pimpinan Pakatan Rakyat dengan bermacam-macam tuduhan liar dan tidak berasas, semakin cepat Umno-BN akan berkubur.

Tiada ulasan: