Sabtu, 10 April 2010

Subra: ‘Saya tiada minat tanding jika pun ditawar

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR — Bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam menegaskan, beliau sama sekali tidak pernah melobi untuk mendapatkan tiket bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan ini.

Malah kata Subrmaniam, beliau juga tiada minat langsung untuk bertanding di kerusi tersebut meskipun diberikan peluang.

Sehubungan itu, Subramaniam juga mahu memastikan tradisi penyandang jawatan timbalan presiden dinafikan hak bertanding tidak berulang lagi di Hulu Selangor kali ini.

“Saya tidak berminat untuk bertanding di Hulu Selangor meskipun saya ditawarkan peluang kerana calon yang sedang ditimbangkan dikatakan Datuk G. Palanivel, yang merupakan timbalan presiden parti,” katanya.

Pada masa-masa lalu, kata Subramaniam, kepimpinan MIC pernah tidak memberikannya kerusi bertanding pada pilihan raya umum 1990 dan 2004 meskipun ketika itu memegang kerusi timbalan presiden.

“Saya tidak mahu tradisi tidak berasas ini berulang lagi, malah saya tidak menjadi punca kepada penafian kerusi kepada timbalan presiden semasa,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kenyataan kedua dalam seminggu ini dikeluarkan ketika wujud dakwaan termasuk dalam akhbar harian bahasa Tamil, Tamil Nesan, yang merupakan milik keluarga Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, melabelkan beliau mahu mensabotaj pencalonan Palanivel dan menggunakan jalan belakang untuk menjadi calon di Hulu Selangor.

“Dengan tegas, saya ingin mengatakan bahawa saya tidak pernah membuat cubaan dan tidak pernah bercakap dengan mana-mana pemimpin BN ataupun Umno menunjukkan hasrat saya untuk bertanding di kerusi Hulu Selangor.

“Saya tidak pernah bercakap dengan mana-mana pemimpin MIC berhubung perkara ini dan oleh itu, dakwaan tidak berasas ini dibuat untuk menjejaskan imej dan saya dilabelkan sebagai seorang pemimpin yang bekerja menentang kepentingan MIC,” katanya.

Ketua MIC Bahagian Siputeh ini menambah, sejak tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diumumkan, akhbar Tamil Nesan dan beberapa individu secara terus-menerus membuat dakwaan tidak berasas terhadap beliau.

Dakwaan-dakwaan mereka, menurut bekas timbalan menteri itu, beliau berusaha untuk menggunakan jalan belakang bertanding di Hulu Selangor yang calon MIC tewas dua tahun lalu.

Subrmaniam, yang juga bekas ahli Parlimen Segamat menambah, dakwaan-dakwaan ini merupakan kerja beberapa individu untuk mencetuskan ketegangan dan suasana tidak senang di kalangan pemimpin MIC bagi mendapatkan keuntungan politik.

Mengenai dakwaan bahawa beliau orang belakang dalam meletakkan calon Bebas di Hulu Selangor, Subramaniam berkata, beliau telah pun menafikan perkara sedemikian sebelum ini.

“Calon-calon Bebas ini sendiri telah menyatakan dengan jelas sebab dan alasan mereka mahu bertanding sebagai calon Bebas dan bahawa mereka tidak dipengaruhi oleh sesiapa untuk bertanding sebagai calon Bebas,” katanya.

Tiada ulasan: