Sabtu, 10 April 2010

Rela kawal enam lapangan terbang kecil Sarawak

UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menempatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bagi mengawal keselamatan enam buah lapangan terbang kecil di Sarawak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, penempatan yang bermula 1 April lalu itu membabitkan lapangan terbang Bakalalan, Bario, Long Banga, Long Serindan, Long Lallang dan Long Akah.

Menurutnya, usaha itu dilakukan kerana lapangan terbang berkenaan tidak mempunyai pagar keselamatan dan terletak di kawasan pedalaman.

''Setiap lapangan terbang itu akan dikawal oleh 12 anggota Rela dan mereka berperanan melakukan rondaan serta mengawal keselamatan lapangan terbang berkenaan.

''Mereka yang merupakan warga tempatan akan turut membantu Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam mengendalikan lapangan terbang kecil itu," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Rela peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni.

Pada majlis itu, seramai 13 penerima termasuk Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong menerima pangkat kehormat masing-masing.

Serentak dengan keputusan itu, Abu Seman berkata, Rela mewujudkan Unit Pengawalan Lapangan Terbang Kecil bagi memudahkan pengurusan logistik dan pentadbiran.

''Unit itu akan memastikan peranan anggota Rela sejajar dengan matlamat kerajaan dalam mengawal keselamatan lapangan terbang kecil di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya sedang meninjau lapangan terbang kecil yang ada sekitar Sabah untuk menempatkan anggota Rela.

''Begitu juga dengan cadangan untuk menempatkan anggota Rela di sempadan Indonesia dan Thailand.

''Ia kini dalam peringkat mesyuarat penyelarasan kerana anggota Rela yang dipilih perlu memiliki kemahiran tertentu bagi membantu tentera dan polis mengawal sempadan negara," katanya.

Tiada ulasan: