Selasa, 13 April 2010

Perbicaraan Kes Tiga Lelaki Bakar Geraja Ditetap 6, 7 Julai.

BERNAMA

KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 dan 7 Julai depan untuk perbicaraan kes dua beradik dan seorang rakan mereka yang didakwa membakar sebuah gereja di sini Januari lepas.

Hakim S.M Komathy Suppiah yang mendengar kes itu juga memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan tiga laporan perubatan kepada pihak pembelaan pada hari berkenaan.

Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, adiknya Raja Mohamad Idzham, 22, dan Azuwan Shah Ahmad, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar Metro Tabernacle Church AG di Jalan 4/4c, Desa Melawati di sini pada 11.50 malam 7 Jan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh, yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan memanggil antara 10 dan 12 orang saksi termasuk doktor dan anggota polis selain menayangkan rakaman kamera video litar tertutup (cctv) di tempat kejadian.

Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Idzham diwakili peguam Datuk Hanif Hashim manakala Pazuwan Shah diwakili peguam Dzaki Ezhar Bahar.

Tiada ulasan: