Khamis, 22 April 2010

Pegawai Ronnie Liu bebas tuduhan pecah amanah

BERNAMA



Kira-kira tiga minggu selepas dibebaskan daripada tuduhan mengemukakan borang peruntukan dan invois palsu, hari ini Wong Chuan How, pegawai khas kepada anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam daripada tuduhan pecah amanah membabitkan cek RM5,000, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chuan How, 51.

Mahkamah juga memerintahkan agar wang jaminan Chuan How dikembalikan kepadanya.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Baharuddin Ahmad Kasim memanggil seramai sembilan saksi memberi keterangan.

Chuan How dibicarakan atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan sekeping cek bernilai RM5,000 iaitu wang peruntukan menganjurkan perjumpaan ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek di Pejabat Daerah Sepang pada 19 Februari tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 2 April lalu, mahkamah yang sama melepas dan membebaskan Chuan How daripada tuduhan mengemukakan borang peruntukan dan invois palsu bagi pembekalan 2,500 unit bendera kereta bernilai RM2,500, tanpa dipanggil membela diri.

Chuan How yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid bagaimanapun masih menghadapi satu lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM2,500 yang masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen berasingan di sini.


Tiada ulasan: