Khamis, 15 April 2010

PR Perkenal Sistem Pemantauan Ceramah

Oleh Fazli Othman


Serendah - Pakatan Rakyat akan mewujudkan sistem pemantauan terhadap ceramah politik yang disampaikan oleh pimpinan serta penceramah KEADILAN, PAS dan DAP pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor bagi mengelakkan serangan peribadi pihak lawan atau menyentuh perkara sensitif yang berkaitan agama atau kaum.

Menurut Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh pendekatan ini akan digunapakai buat pertama kalinya pada PRK Hulu Selangor sebagai kayu pengukur kepada penganjuran ceramah yang lebih sistemetik dan profesional tanpa menghina atau menghukum pihak lawan dalam mana-mana pilihan raya akan datang.

"Kita akan ada pemantau-pemantau yang akan mendengar penceramah kita yang berceramah dan kita akan ada sistem 'kad kuning' dan 'kad merah' kepada penceramah kita.

"Penceramah yang sudah diberi 'kad merah' akan diberi amaran dan selepas itu kita potong nama mereka dari senarai penceramah dan tidak benarkan mereka menaiki pentas untuk berceramah kerana telah melanggar peraturan yang kita tetapkan," kata Fuziah kepada Suara Keadilan.

Tambah Ahli Parlimen Kuantan itu pemantau yang ditugaskan mengawal kandungan ucapan dan ceramah yang disampaikan kepada pengundi adalah di bawah pengawasan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.


Tiada ulasan: