Ahad, 4 April 2010

Najib dakwa hayat Pakatan kuasai Hulu Selangor tamat

THE MALAYSIAN INSIDER


HULU SELANGOR — Sambil menyifatkan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Hulu Selangor sebagai pinjaman, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata tempoh itu sudah tamat.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ini kerana kawasan itu merupakan kawasan tradisi BN dan sudah tiba masanya ia dikembalikan semula kepada BN.

“Tempoh pinjaman sudah tamat...cukuplah kawasan ini di bawah pembangkang,” kata Najib ketika berucap kepada jentera BN bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor di pekarangan Bangunan Umno Hulu Selangor di sini petang ini.

Dalam ucapannya selama 15 minit bermula pukul 3 petang itu, Najib yang menyambut ulang tahun pertama sebagai Perdana Menteri hari ini berkata, kemenangan BN perlu sebagai tanda pulihnya keyakinan rakyat.

Beliau berkata ia juga bagi mnembuktikan sentimen bahawa sokongan kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 hanyalah sementara.

Katanya, kemenangan itu juga boleh menyumbang kepada sasaran majoriti dua pertiga kerusi Parlimen BN sebagai parti pemerintah.

Najib juga berseloroh bahawa kemenangan itu penting untuk beliau berhadapan dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang akan ditemuinya dalam lawatan beliau ke negara itu tidak lama lagi.

“Saya nak jumpa Obama dengan kekuatan politik...saya nak kata ‘Mr President, Hulu Selangor is BN’s constituent... walaupun Obama mungkin tak tahu Hulu Selangor itu di mana,” katanya yang disambut dengan ketawa oleh mereka yang hadir.

Najib juga mengiktiraf jentera pergerakan Wanita Umno yang disifatkan sebagai tulang belakang BN bagi memastikan kemenangan di Hulu Selangor.

Dalam pada itu ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda

Sungai Tengi, Najib memberitahu kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mementingkan soal politik berbanding dengan matlamat politik itu sendiri iaitu mahu melihat rakyat Malaysia mencapai tahap pembangunan diri yang maksimum.

“Matlamat politik itu ialah kami ingin melihat rakyat 1Malaysia membangun menjadi rakyat sebuah negara yang maju, sebuah negara yang berpendapatan tinggi, sebuah negara yang mana kemiskinan tidak lagi menjadi hambatan kepada masyarakat kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak mahu terlalu dibuai-dibuai dan terlalu terbawa-bawa dengan sentimen politik apatah lagi mainan politik yang tidak menguntungkan rakyat.

“Politik adalah sebuah wahana dan kaedah yang membolehkan kita menilai sama ada sesebuah parti dan kepimpinan parti itu boleh dikatakan kepimpinan yangboleh diterima, yang boleh diberi keyakinan, yang boleh diberi kepercayaan,” katanya.

Najib berkata YKE yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2009 itu bertujuan untuk menjaga kebajikan masyarakat khususnya di negeri Selangor tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

“Mengapa dan kenapa sebuah yayasan telah ditaja oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam parti BN, walhal kerajaan sediakan pelbagai bantuan yang telah dan akan terus disampaikan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

“Sebab-musababnya ialah beberapa pertimbangan yang kita lakukan antaranya betapa pentingnya bidang pendidikan dalam melakar dan mencorak masa depan bangsa dan negara kita, sehinggakan dalam soal pendidikan dan penguasaan ilmu perlu kita sediakan kepada terutamanya untuk golongan yang berpendapatan rendah boleh dikatakan tiada noktahnya,” katanya.

Tiada ulasan: