Rabu, 14 April 2010

MIC Buka 73 Bilik Operasi Di Hulu Selangor

BERNAMA

HULU SELANGOR: MIC telah membuka 73 bilik operasi untuk menghadapi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, kata Naib Presiden parti, Datuk Dr S.Subramaniam hari ini.

Beliau berkata, bilik operasi yang ditempatkan di setiap cawangan MIC di bahagian Hulu Selangor itu dijangka dirasmikan selepas penamaan calon Sabtu ini.

"Jentera pilihan raya MIC kini giat mengenal pasti pengundi-pengundi India berdaftar di kawasan Parlimen Hulu Selangor," katanya kepada selepas melawat rumah pengundi India di Kampung Koskan, Sungai Choh, dekat sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, dari Parti Keadilan Rakyat akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, setiap pemimpin MIC akan bertanggungjawab untuk memantau peti undi yang mempunyai sejumlah pengundi India yang signifikan dan beliau akan memantau peti undi Taman Bukit Teratai.

Ditanya mengenai lawatannya hari ini, Subramaniam berkata, terdapat pengundi atas pagar di beberapa buah rumah di kampung itu yang masih belum memutuskan siapa yang akan dipilih pada hari pengundian nanti.

"Kita akan kembali dan memberi tumpuan kepada pengundi di rumah-rumah tersebut," katanya dan menambah lebih 4,000 anggota MIC di Bahagian Hulu Selangor adalah pengundi berdaftar.

Tiada ulasan: