Khamis, 1 April 2010

Kerajaan Kemuka Usul Rujuk Anwar Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengemukakan usul merujuk Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu APCO yang menjadi polemik di Dewan Rakyat sejak 17 Mac lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini kerana ketua pembangkang itu gagal menjelaskan dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia ditiru daripada "One Israel" yang dikaitkan dengan APCO Worldwide.

"Usul akan dibuat di bawah aturan mesyuarat 18(2) yang memerlukan kerajaan memberikan notis kurang sehari. Keputusan ini berdasarkan kerana Permatang Pauh mengelirukan Dewan Rakyat berkaitkan isu APCO," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Anwar gagal menjelaskan dakwaannya selepas beliau diberi tempoh seminggu untuk berbuat demikian pada Selasa lepas.

Pada 22 Mac lepas, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) membangkitkan isu percanggahan kenyataan Anwar mengenai gagasan 1Malaysia ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata berdasarkan muka surat 76 Hansard (catatan) Parlimen bertarikh 17 Mac, Anwar menyatakan pada 2009, APCO Worldwide memberikan nasihat kepada Perdana Menteri berhubung 1Malaysia selain mendakwa syarikat sama memberikan nasihat kepada kerajaan Israel pimpinan Ehud Barak pada 1999 berhubung slogan One Israel.

"Saya dapati bahawa dia langsung tidak menunjukkan bukti-bukti kukuh untuk menguatkan dan menyokong dakwaan beliau bahawa 1Malaysia ini diambil daripada One Israel," kata Nazri menambah APCO turut menafikan dakwaan ketua pembangkang itu.

Beliau berkata penjelasan Anwar di Dewan Rakyat sebelum ini hanya mengaitkan perkara lain secara ikut keadaan dengan APCO tanpa mengemukakan bukti 1Malaysia ditiru daripada One Israel.

Katanya notis untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu akan dikemukakan esok sebelum ditentukan Speaker Dewan Rakyat untuk menetapkan tempoh yang sesuai bagi perbahasan usul itu dijangka dalam penggal ini juga.

Nazri berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat dan dianggotai lima anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan tiga wakil rakyat pakatan pembangkang, masing-masing satu bagi DAP, PKR dan PAS.

Ditanya kemungkinan wakil pakatan pembangkang akan memboikot jawatankuasa itu, beliau berkata perkara itu pernah berlaku sebelum ini ketika Anggota Parlimen Puchong Govind Singh Deo dirujuk kepada jawatankuasa sama.

"Tindakan ini takkan jejaskan perjalanan sidang," katanya.

Nazri juga menegaskan beliau tidak akan melayan sebarang persoalan mengenai isu itu ketika menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong petang ini kerana perkara itu akan dikemukakan sebagai usul kelak.

Tiada ulasan: