Sabtu, 24 April 2010

Artis Seru Pengundi Hulu Selangor Pilih Zaid Ibrahim

Oleh Sidiqin Omar


KUALA KUBU BAHARU - Artis yang menjayakan konsert "Tangisan Gaza" anjuran Srikandi Malaysia semalam menyeru pengundi Hulu Selangor memilih calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil esok.

Mereka berpendapat kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat bukan sahaja bersikpa terbuka dengan memberi ruang kepada artis dan seniuman tanah air untuk mempersembahkan seni dan hiburan yang berasaskan kerohanian tetapi juga melaksanakan dasar yang pro-rakyat.

Salah seorang artis yang menjayakan konsert tersebut, Blank ketika ditemui Suara Keadilan mengalu-alukan penganjuran dan menggalakkan seniman dinegara ini untuk turut memberikan sokongan kepada konsep konsert hiburan amal seperti ini

"Kami sebagai artis mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor kerana mewujudkan ruang untuk kami berkarya dan membuat persembahan. Program seperti ini perlu lebih kerap dianjurkan bagi mendidik masyarakat mengenai isu semasa yang melanda umat Islam di luar negara dan juga mengenai hak mereka sendiri di Malaysia," kata beliau.

Blank atau Rosli Shariff, bekas vokalis kumpulan Gamma optimis dengan kejayaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

Banyak masalah yang ditinggalkan kerajaan Umno-BN telah diselesaikan oleh kerajaan pakatan rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim katanya.

"Sebagai contoh di kampung kami sendiri di Batu Arang, Kuang yang berlaku masalah berkaitan status tanah. Ada yang telah memohon untuk mendapatkan geran tanah lebih daripada 10 tahun lalu, namun kerajaan Umno-BN gagal menyelesaikannya.

"Namun selepas 2 tahun pemerintahan Pakatan Rakyat, masalah tersebut telah berjaya diselesaikan. Baru-baru ini, hampir 100 geran telah dikeluarkan kepada penduduk dan mereka berasa gembira dengan polisi baru kerajaan negeri," kata Blank.

Beliau menyeru kepada pengundi di Hulu Selangor untuk membuat pilihan yang bijak dan menyokong calon dan parti yang boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Konsert ini dianjurkan bagi memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan rejim Zionis-Israel di tanah air mereka.

Program ini diselang-selikan dengan persembahan nyanyian, bacaan puisi dan pidato umum.

Antara artis yang hadir bagi menjayakan konsert "Tangisan Gaza" ini termasuk Mel, bekas vokalis kumpulan Wings, dan penyair terkenal tanahair, Pyanhabib.

Penganjur juga menempatkan gerai pameran yang memaparkan jenayah perang yang dilakukan oleh rejim zalim Zionis-Israel.

Lagu dan puisi yang dibawakan oleh artis juga turut bertemakan perjuangan rakyat Palestin.

Tiada ulasan: