Ahad, 25 April 2010

63.74 Peratus Keluar Buang Undi

TV SELANGOR

Dengan tinggal hanya dua jam lagi untuk berakhirnya pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, lebih 41,000 pengundi atau 63.74 peratus daripada 63,701 pengundi biasa sudah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 3 petang ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 41,112 pengundi sudah mengundi dan berharap sasaran 80 peratus dapat dicapai apabila kesemua 48 pusat mengundi ditutup pada 5 petang.

Pengiraan undi akan dibuat di semua pusat mengundi. Keputusan dijangka 9.30 malam.

Tinjauan di pusat-pusat mengundi pula menunjukkan jumlah mereka yang keluar semakin berkurangan, ditambah dengan cuaca panas.

Seramai 799 pengundi pos mengundi Khamis dan Jumaat pada pilihan raya kecil yang menyaksikan pertandingan di antara Ketua Penerangan MIC P.Kamalanathan, 44, dari Barisan Nasional (BN) dan bekas Anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Zaid Ibrahim, 59, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu pemberita di sini enam orang ditahan setakat ini kerana bertindak menimbulkan kekacauan di pusat pengundian.

Pilihan raya kecil ini, yang merupakan pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum 2008, diadakan untuk memilih Anggota Parlimen baru kawasan itu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meninggal dunia pada 25 Mac lepas.

Tiada ulasan: