Rabu, 21 April 2010

24 jam terakhir penentu kemenangan: Ahmad Atory

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Penentuan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, semakin panas apabila kedua-dua calon Bebas, Johan Md Diah dan VS Chandran menarik diri, kelmarin, sekali gus menjadikan pertarungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili P Kamalanathan dan Datuk Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, amat sukar untuk mencongak pihak mana yang mendapat kelebihan daripada penarikan diri calon Bebas tersebut.

Menurutnya, BN dan Pakatan memang dikenali tidak menggemari sekiranya ada calon Bebas yang bertanding kerana ia disifatkan sebagai ‘kacau daun’ dan boleh menggugat keputusan pilihan raya.

“Buat masa sekarang amat sukar untuk melihat pihak mana yang mendahului, saya yakin sokongan hanya kelihatan dalam tempoh 24 jam terakhir sebelum proses pengundian bermula.

“Ia kerana BN dan Pakatan bekerja sekeras-kerasnya untuk memastikan kemenangan calon mereka, jadi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor amat sengit sekali,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian,: semalam.

Ditanya mengenai calon BN dan Pakatan, Ahmad Atory berkata, dari segi populariti, sudah tentu Zaid mempunyai kelebihan kerana Zaid pernah memegang jawatan Menteri satu ketika dulu dan beliau juga memang dikenali oleh orang Melayu sebagai usahawan yang berjaya.

“Kalau Kamalanathan, memang beliau muka baru dan tidak dikenali ramai, tetapi dalam kalangan ahli MIC, beliau memang cukup dikenali, jadi ia terpulang kepada pengundi di Hulu Selangor,” katanya.

Tiada ulasan: