Khamis, 24 September 2009

Mungkinkah “revolusi senyap” berlaku di Teluk Kemang?

Oleh Penulis Khas


Selepas raya, kita kembali kepada kehidupan biasa harian dan politikus pula menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Port Dickson. Manusia adalah “binatang politik”. Madah Aristotle dalam bukunya “Politics” – “bahawa manusia (lelaki di zamannya) semulajadi haiwan politik – man is by nature a political animal”. Satu ungkapan bukan buruk bahkan satu perasaan kekaguman yakni satu ‘grudging admiration’

UMNO Bahagian Teluk Kemang diketuai oleh veteran Tan Sri Isa Samad, nampaknya sepakat mencalon ketua mereka sebagai calon tunggal walaupun diminta oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO, Bahagian mencalon beberapa nama untuk diteliti. Mujurlah Isa berkata Bahagian akan memberi ibu pejabat UMNO beberapa nama bakal calon untuk diperiksa, teliti dan dinilai. Isa jelas bijak bersiasah kerana dia “binatang politik”.

Agak terlalu awal bagi UMNO dan penyokongnya bercakap Bagan Pinang sebagai padang cipta balas dendam bagi kekalahan di semua pilihan raya kecil 8:0 di Semenanjung. UMNO hanya kalah satu – di Kuala Terengganu. Apa dendam yang mahu dibalas? Bagan Pinang kerusi UMNO, kalau pun UMNO menang ini hanya status-quo. Tetapi kalau Pas menang ia satu kejayaan; merampas kerusi UMNO; satu laba seperti berlaku dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Kalau kita membeli rumah, tiga “rules” terpenting: Lokasi, lokasi, lokasi. Dan kalau memilih sekolah, universiti, hospital dan doktor ataupun peguam, peraturannya begini: Reputasi, reputasi, reputasi. Atau dalam bahasa ibunda yang indah ialah nama baik, dipandang tinggi, bermutu lagi hebat. Dalam politik pula, apa lagi dalam pilihan raya, terbehena dan terutama ialah nama baik calon, reputasi baik dan tidak ada “baggage”. Kalau salah calon di Bagan Pinang, Kuala Terengganu akan berulang. Revolusi senyap akan berlaku di kalangan ahli UMNO, penyokong parti dan pengundi atas pagar. Itulah yang berlaku di Kuala Terengganu.

Duri dalam daging

Isa hampir 26 tahun di mercu politik Negeri Sembilan. Apa untungnya dia menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa? Besar kemungkinan dia akan jadi “duri dalam daging” pada Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Mohamad Hasan, atau Isa sama ada dia berkenan atau tidak jadi “pangkalan” bagi ADUN yang tidak menyenangi Mohamad Hassan. Kalau dia menang – kemenangannya tidak terjamin. Bagaimana jika takdirnya (Isa) kalah? Soal kelayakan memang Isa padan tetapi kelayakan bukan segala-galanya waktu memilih calon, exco atau menteri. Isa amat arif dalam perkara ini. UMNO kononnya mahu pembaharuan, satu “renewal” - dalam bahasa lama perihal bermula semula.

Saya sedar dilema yang dihadapi oleh Isa dan UMNO di Teluk Kemang, tetapi kalau sayalah Isa, saya akan menolak walaupun dicalon dan diterima oleh Ibu Pejabat UMNO.

Buktikan dia tidak ‘selfish’, tidak mementingkan diri – menteri besar dan menteri pun sudah. Kalau dia mahu UMNO menang, dia mesti tolong menentukan siapa calon yang boleh bawa kejayaan kepada UMNO. Lainlah kalau Isa masih muda, Isa veteran dari segi perkhidmatan.

Lainlah kalau Isa teringin jadi Perdana Menteri atau TPM, dia memang patutlah bermati-matian nak jadi calon untuk bertapak semula dalam politik UMNO.

Kalaulah ini matlamat Isa, tidak salah dia bercita-cita sedemikian. Saya kira kalau Ghaffar Baba, Muhyiddin Yassin boleh jadi TPM dan Badawi PM, kenapa pula tidak boleh Ali Rustam hatta Musa Aman atau siapapun yang mengidamkan lubuk dan gua emas itu.

Isa hanya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana politik wang, tetapi bukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada ahli UMNO, itu tidak menjadi isu tetapi saya rasa Isa akan menjadi isu dengan pengundi muda dan atas pagar. Kalau Isa menjadi calon, Pakatan Rakyat (PR) akan melompat gembira.

Kalau pun mereka kalah, mereka akan menang dalam propaganda dan peperangan psikologi. Apatah lagi kalau mereka menang. Andainya Isa calon, di mana kredibiliti UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak yang beriya-iya mahukan pembaharuan dalam parti?

Apa mesej yang dihantar kepada pengundi muda dan bakal pengundi? Masakan tidak ada anak Linggi, Teluk Kemang dan Bagan Pinang yang muda, berkelayakan, bersih dan maaruf yang boleh diketengahkan? Adakah daerah ini begitu daif dengan anak muda dan mudi?

Saya tahu sedikit bahawa Bagan Pinang bukan satu tempat yang begitu melarat kedana dengan bakat UMNO! Masakan tempat yang UMNO telah berpuluh tahun menang di situ begitu melarat, begitu bangsat, begitu bapet dan sengkek dengan muda mudi yang berkebolehan, segar, bersih dan berkaliber. Apa salahnya dengan anak sulung Isa, nama pun sama dengan Perdana Menteri, Najib; muda, seorang pengurus korporat perubatan/farmasi kini naib ketua pemuda UMNO Bahagian? Benar Isa akan dituduh mengamalkan nepotisme tetapi keturunan adalah lumrah bagai semula jadi dalam kebudayaan politik Malaysia, baik dalam parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Kerusi bertahan pembangkang

Bagan Pinang adalah pilihan raya kecil yang kesembilan termasuk satu di Sarawak di mana BN menang lain semua kalah, tetapi itu semua kerusi bertahan pembangkang kecuali di Kuala Terengganu dan Bagan Pinang hari pengundian yang akan berlangsung pada 11 Oktober ini. Bagan Pinang amat kritikal bagi BN, UMNO dan Najib, terutamanya kerana Bagan Pinang adalah kerusi UMNO begitu lama, ia akan menjadi tamparan hebat kepada BN yang akan membawa reaksi buruk pada politik UMNO dan kepimpinan Najib andainya kerusi itu hilang. Kalau menang pun tanpa majoriti yang berlebihan ketika PRU-12, dakwaan kononnya orang Melayu mulai berpaling atau menyokong balik ke UMNO akan menjadi cerita dongeng. Maka suka tidak suka, sukacita dan duka BN mesti menang dengan undi yang bertambah. Tanpa itu, boleh dibaca satu ‘signal’ yang bakal menanti kejutan. Tidak mustahil ini boleh berlaku, maka janganlah mempunyai keyakinan keterlaluan menggembar-gemburkan cerita lama dan pembangunan. Rakyat mahu idea, visi dan masa depan yang diminati muda-mudi. Dalam pilihan raya lepas, Allahyarham Azman Mohd Noor hanya mendapat majoriti 2,333 melawan calon Pas, Ramli Ismail.

Untuk mengekalkan kerusi ini, Isa – sama ada dia atau Najib calon – mesti dipertanggungjawabkan agar jentera pilihan raya kemas dan berjalan lancar.

Tiada pulau memulau dan sabotaj. Saya cadang Isa jadi pengarah pilihan raya Bagan Pinang. Jangan ambil remeh kerana PR akan bermatian untuk menafikan UMNO kerusi lamanya.

Kalaupun PR kalah, majoriti BN kecil, itu satu kemenangan besar bagi mereka yang akan membuka jalan strategik dalam PRU-13; kemenangan kedua merebut kerusi UMNO amat mustahak bagi mereka kerana ia akan menjadi penunjuk bahawa rakyat bosan dengan BN. Bagi meyakinkan rakyat dan pelaburan asing (FDI) UMNO mesti menang bagi menunjukkan bahawa orang Melayu sudah mulai jinak semula dengannya (UMNO).

BN boleh dan mesti menang besar di Bagan Pinang kalau calon yang munasabah dan berpotensi dipilih. Isa dipertanggungjawabkan secara langsung di bawah Muhyiddin dan tiada permainan kayu tiga secara senyap.

Kalau UMNO dapat mempertahankan Bagan Pinang dengan majoriti yang terhormat, barulah dakwaan sudah wujud pemulihan dalam UMNO benar. Kalau tidak itu satu impian semata-mata.

Disebaliknya pula, PR boleh mengharapkan sokongan majoriti bukan Melayu yang pengundinya berjumlah 30 peratus. Dan andainya PR dapat separuh undi Melayu atau 45 peratus daripada 70 peratus jumlah pengundi Melayu PR akan berjaya. Antara 70 peratus pengundi Melayu itu, jumlah antara 3,000 hingga 5,000 adalah pengundi pos yang majoritinya tentera.

Apa pun konsesi atau tolak ansur Najib telah buat tidak menarik hati pengundi bukan Melayu hingga mereka dapat betis.

Pengundi Melayu kian berasa kecewa dengan tolak ansur Najib. Itulah persepsi saya dapati dalam tinjuan awal saya dengan pengundi-pengundi. Atas kertas dan teori, UMNO boleh menang kecualilah ada “revolusi senyap” seperti yang berlaku di Kuala Terengganu yang tidak disedari atau sengaja tidak mahu mafhum oleh pemimpin UMNO dan media mereka. S/H

Tiada ulasan: