Rabu, 2 September 2009

Bekas TKPN meninggal, seorang lagi cedera parah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN), Tan Sri Jaffar Abdul meninggal dunia akibat pendarahan usus dan dalam kejadian berasingan, seorang lagi bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Sedek Ali cedera parah apabila kereta yang dipandunya terbabas di Lebuhraya Grand Saga di sini hari ini.

Jaffar yang berusia 77 tahun menghembus nafas terakhir di sisi keluarganya pada pukul 5.09 petang di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang di sini.

Anak saudara beliau, Datuk Zuraidah Atan ketika dihubungi memberitahu, Jaffar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu sejak tiga hari yang lalu selepas beliau mengadu sakit.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham meninggal dunia selepas keadaannya bertambah tenat petang ini.

Allahyarham yang meninggalkan seorang anak lelaki itu kata beliau, akan dikebumikan di tanah wakaf di Parit Bakar, Muar sebelum solat subuh esok.

Zuraidah dalam pada itu merakamkan terima kasih kepada semua warga PDRM yang membantu sepanjang bapa saudaranya dimasukkan ke hospital sehinggalah pengurusan jenazah.

Sepanjang Allahyarham menerima rawatan di hospital tersebut, beberapa pegawai kanan termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar telah menziarahi beliau.

Jaffar menyertai polis pada tahun 1951 sehingga menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dari 1985 hingga 1989.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, sumbangan dan jasa Allahyarham ketika berkhidmat dalam pasukan beruniform itu akan dikenang.

Dalam pada itu, Mohd. Sedek, 60, cedera parah dan keadaannya dilaporkan kritikal selepas keretanya terbabas akibat terlanggar pembahagi jalan di Kilometer 17, Lebuh Raya Grand Saga berhampiran stesen minyak Petronas di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, kejadian kira-kira pukul 3 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Mercedes Benz E230 yang dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan sebelum merempuh sebuah kereta Proton Iswara.

Mohd. Sedek yang bersara pada awal 2005 memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 2004.

Sebelum itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk menjadi Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Pengarah Jabatan Narkotik Polis Bukit Aman dan Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Tiada ulasan: