Rabu, 2 September 2009

Isu kuil: Lokasi Seksyen 23 jauh dari penduduk

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pemilihan kawasan Seksyen 23 Shah Alam sebagai lokasi baru tapak kuil Sri Maha Mariaman yang sebelum itu diputuskan di Seksyen 19 adalah kerana kedudukannya yang jauh dari penempatan penduduk.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, berbanding dengan tapak asal iaitu di Seksyen 19 kedudukannya terlalu hampir dengan penempatan penduduk iaitu kira-kira lapan meter atau selebar jalan.

Mengenai cadangan asal Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan tapak kuil itu ke Seksyen 22, Khalid berkata, ia merupakan kawasan industri berat dan tiada kawasan penempatan di lokasi tersebut.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan yang menyatakan kawasan itu merupakan majoriti masyarakat India adalah palsu.

''Harap diberi perhatian bahawa kedudukan yang dicadangkan adalah dipinggir kawasan Industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke kuil adalah 200 meter atau 600 kaki iaitu 30 kali lebih jauh dari di Seksyen 19,'' katanya.

Kenyataan Khalid itu dipetik hari ini daripada artikel yang bertajuk 'peta lokasi kuil Seksyen 19' yang disiarkan pada Ahad lalu di laman blognya www.khalidsamad.com.

Khalid berkata, begitu juga dengan jarak antara tapak cadangan kuil dengan surau di Seksyen 23.

''Di antara surau dengan kuil terdapat rumah pencawang TNB serta taman permainan kanak-kanak dan antara kawasan perumahan dengan cadangan tapak kuil pula terdapat dewan orang ramai dan taman permainan kanak-kanak yang sama,'' katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, mungkin bagi pihak-pihak tertentu tiada bezanya di antara Seksyen 19 dan 23 kerana kedua-dua kawasan berkenaan adalah kawasan majoriti bagi masyarakat Islam.

''Namun begitu harap maklum, kuil di Seksyen 19 dipindahkan bukan kerana Seksyen 19 adalah kawasan majoriti masyarakat Islam tetapi ia dipindahkan kerana kuil berkenaan berada di depan rumah orang (8 meter).

''Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat meletak kereta dan ini menyebabkan kesesakan berlaku apabila pihak pihak kuil mengadakan upacara mereka,'' katanya.

Dalam perkembangan sama Khalid berkata, terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup 'melihat' kuil dan tokong.

''Walau jauh macam mana sekali pun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat 'bumbung kuil atau tokong', mereka menjadi bagaikan dirasuk.

''Adakah wajar sikap 'ekstremis' yang seperti ini di sebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?'' tambah Khalid.

Tiada ulasan: