Isnin, 14 September 2009

1,500 permit kereta diberi di Langkawi

BERNAMA


Sebanyak 1,500 permit kereta sewa pandu sendiri yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan akan diserah kepada
pengusaha-pengusaha kereta sewa pelancongan di Langkawi menjelang hari raya Aidilfitri.

Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah, Pishol Ishak berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,000 permit sementara akan diberikan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima 09) pada Disember ini.

Katanya, sebanyak 500 permit lagi untuk tempoh jangka panjang antaranya untuk musim cuti persekolahan dan lain-lain perayaan.

"Matta akan memastikan permit itu diserahkan kepada pengusaha terbabit yang juga anggota persatuan sebelum hari raya ini," katanya di Langkawi hari ini.

Menurutnya permit itu diluluskan Kementerian Pelancongan bagi mengatasi masalah kereta sewa tanpa permit yang beroperasi di pulau itu berikutan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menjalankan operasi termasuk menyaman dan menyita kenderaan mereka.

Pishol berkata permohonan permit tambahan sedang dipohon dan akan diberikan secara berperingkat-peringkat oleh kementerian berkenaan.

Tiada ulasan: