Jumaat, 14 Ogos 2009

Pemaju cabar LPK heret ke mahkamah

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) mencabar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) mengheretnya ke mahkamah sekiranya ada bukti mereka melakukan penyelewengan atau tuntutan tidak munasabah membabitkan projek itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Faizal Abdullah, juga mahu LPK menyerahkan salinan laporan pasukan petugas khas yang menyiasat skandal PKFZ bagi membolehkan mereka mengenal pasti kesalahan dilakukan dan membela diri.

“LPK menjadi penyiasat, pendakwa, juri dan hakim dalam isu ini tanpa memberi peluang kepada KDSB mempertahankan diri, malah kita tidak langsung dipanggil bagi memberi keterangan atau penjelasan, sebaliknya mereka memutuskan semuanya.

“Kalau benar ada penyelewengan atau salah guna kuasa, kenapa tidak saman saja kami, sebaliknya LPK ke hulu ke hilir dengan laporan enam jilid disediakan pasukan petugas khas tetapi setakat ini tiada siapa pun mendedahkan kandungannya. Ini tidak telus,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng, membuat laporan polis terhadap KDSB berhubung dakwaan tuntutan tidak munasabah antara RM500 juta hingga RM1 bilion.

Ia dikesan pasukan petugas khas, merangkumi peguam, akauntan dan perunding kos bangunan yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan, Jun lalu berikutan laporan audit PKFZ oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

Mengenai dakwaan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, bahawa isu penggunaan jet milik KDSB sengaja dibangkitkan bagi memburukkan beliau, Faizal berkata, ia didedahkan kerana Ong tidak membayar bagi perkhidmatan itu.

“Jet ini milik syarikat sekutu kami, Kuala Dimensi Aviation Sdn Bhd dan hanya dipinjamkan kepada pihak tertentu memandangkan kita masih dalam proses memohon kebenaran yang diperlukan bagi beroperasi secara komersial.

“Mereka yang meminjam lazimnya membayar kos juruterbang, krew kabin dan minyak tetapi dalam kes Ong, kita tidak terima sesen pun, malah beliau tidak mengemukakan surat jaminan kerajaan untuk membayar bagi perkhidmatan yang diminta,” katanya.

Faizal mendedahkan, Ong menggunakan jet Gulfstream pada 19 Februari dan 20 April lalu untuk penerbangan pergi balik Subang-Johor Bahru, manakala jet Lear digunakan pada 7 dan 24 Mac.

Tiada ulasan: