Khamis, 6 Ogos 2009

KPDNKK sita 23.8 tan gula pasir di Perlis

BERITA HARIAN ONLINE


KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyita 23.8 tan metrik gula pasir bernilai lebih RM32,000 dalam satu serbuan di sebuah gudang di Jejawi, dekat sini, petang semalam.

Semua stok yang menyamai hampir separuh daripada keperluan gula harian seluruh negeri itu, disita selepas dikesan cuba disorokkan pemilik gudang berkenaan dipercayai sejak beberapa hari lalu.

Perlis setiap hari memerlukan antara 50 dan 60 tan metrik bekalan gula pasir untuk memenuhi keperluan isi rumah harian seluruh negeri.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Abdul Halim Pakri, berkata pihaknya sedang menyiasat kemungkinan semua stok terbabit sengaja disorok sebagai persediaan menghadapi kemungkinan, berikutan spekulasi tinggi mengatakan stok gula negeri semakin berkurangan.

Malah, beliau yang juga Ketua Unit Penguatkuasaan KPDNKK negeri berkata, kekurangan bekalan yang dikatakan bakal menyumbang kepada kenaikan harga gula juga, dipercayai menjadi antara faktor utama semua stok gula pasir terbabit disorok.

Selain itu, katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pengumpulan stok yang begitu banyak di gudang berkenaan turut mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan yang menjadi antara punca utama bekalan gula negeri berkurangan.

"Buat masa sekarang, siasatan mendapati gudang terbabit tidak mempunyai kebenaran untuk menyimpan stok gula berkenaan, apatah lagi dalam jumlah yang begitu banyak terutama dengan keadaan bekalan yang terhad kini.

"Kita percaya gudang terbabit menerima stok berkenaan sejak beberapa hari lalu. Bagaimanapun hanya sebilangan kecil daripadanya diagihkan, manakala selebihnya disimpan untuk tujuan tertentu.

"Malah, pemeriksaan juga mendapati buku log operasi gudang berkenaan menunjukkan keraguan. Justeru, semua stok kini disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Dagangan 1961," katanya di sini.

Tiada ulasan: