Khamis, 6 Ogos 2009

Melaka catat empat kematian dalam tempoh seminggu

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Melaka mencatatkan empat kematian akibat wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dalam tempoh seminggu dengan kematian pertama pada 28 Julai lalu.

Ia melibatkan kematian remaja perempuan dari Taman Cempaka di sini. Ia kemudiannya disusuli kes kedua membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Sungai Rambai kelmarin.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman, kematian ketiga H1N1 di negeri ini melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Taman Pulai Indah, Jasin di sini yang meninggal dunia pada hari yang sama.

''Mangsa dimasukkan ke Hospital Melaka (HM) kira-kira pukul 10 pagi namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 petang pada hari berkenaan.

''Kanak-kanak tersebut didapati menghidap penyakit buah pinggang yang kronik,'' katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol di sini hari ini.

Menurut beliau, keluarga kanak-kanak lelaki terbabit sedang dikuarantin di rumah mereka sebagai langkah berjaga-jaga mengelak penularan wabak tersebut.

Selain itu, Utusan Malaysia difahamkan, kes kematian keempat H1N1 berlaku pada hari yang sama, kali ini melibatkan remaja lelaki berusia 20 tahun dari Ayer Paabas, Alor Gajah, di sini.

Mangsa dimasukkan ke wad HM pada 2 Ogos lalu dan meninggal dunia pada keesokkan hari kira-kira pukul 2.30 petang.

Mangsa juga didapati menghidap asma kronik dan meninggal dunia akibat masalah radang paru-paru teruk.

Selain itu kata Dr. Ghazali, jumlah kes H1N1 di negeri ini bertambah 34 kes sehingga semalam menjadikan keseluruhannya sebanyak 169 kes berbanding 135 kes setakat 2 Ogos lalu.

Pada masa ini, katanya, 47 kes sedang dirawat di wad isolasi HM dengan tiga daripadanya disahkan positif wabak tersebut manakala 44 kes lagi sedang menunggu hasil ujian swap.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu bimbang mengenai penularan H1N1 memandangkan risiko serangan wabak itu tertumpu kepada kumpulan tertentu seperti berpenyakit dan ibu mengandung.

''Sekiranya ada simptom demam di peringkat awal, saya nasihatkan mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik kerajaan atau swasta tanpa perlu ke HM memandangkan keadaan sesak yang berlaku di hospital berkenaan.

''Saya juga telah mendapatkan kerjasama dengan klinik dan hospital swasta untuk memberikan rawatan perubatan sewajarnya kepada pesakit yang mengalami simptom H1N1 tanpa perlu merujuk kes itu ke HM,'' kata beliau.

Tiada ulasan: