Khamis, 6 Ogos 2009

Hishammuddin mahu SKMM siasat klip video

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan siasatan lanjut berhubung klip video yang memaparkan seorang tahanan didera secara kejam oleh sekumpulan lelaki berpakaian seperti anggota polis.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang didapati sengaja menyebarkan klip video memfitnah anggota pasukan keselamatan itu.

Beliau memandang serius fitnah tersebut dan menegaskan perbuatan sedemikian perlu dihentikan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu memberikan kesan buruk terhadap imej pasukan penguat kuasa dalam negara ini.

"Tindakan itu juga adalah satu fitnah dan tohmahan tidak berasas yang sengaja diada-adakan atas niat memburuk-burukkan imej pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas artikel dan klip video yang disiarkan dalam satu laman web mengenai tindakan sekumpulan lelaki membelasah seorang tahanan.

Menurut Hishammuddin, perbuatan fitnah seperti itu semakin berleluasa dan pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya bertindak untuk kepentingan diri tanpa memikirkan kesannya kepada anggota masyarakat.

"Tindakan itu menggambarkan betapa rendahnya moral dan pemikiran pihak tersebut. Mereka sanggup menjadikan laman-laman web sebagai medan untuk menabur fitnah serta memburuk-burukkan pihak yang mereka tidak suka," jelasnya.

Sambil melahirkan rasa kesal, beliau menyatakan, penyalahgunaan laman web amat berleluasa ketika ini sehingga pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Justeru katanya, setiap anggota masyarakat perlu bijak dan berhati-hati dengan kesahihan maklumat yang disebarkan melalui laman web.

Tiada ulasan: