Selasa, 25 Ogos 2009

Hanya 20 peratus harap BN menang

Oleh ALI BUKHARI AMIR


Kaji selidik Ilham Centre mendapati 64 peratus responden berasa yakin bahawa calon PAS di Permatang Pasir Salleh Man akan menang dalam pilihan raya kecil ini.

Kajian ini dilaksanakan bagi melihat kecenderungan dan trend pengundian terhadap jangkaan kemenangan di antara parti yang bertanding, populariti calon, dan isu-isu sama ada isu tempatan mahupun nasional yang menjadi kemungkinan serta kebarangkalian mendapat tumpuan dan mempengaruhi pengundi di kawasan ini.

"Hanya 20 peratus yang tidak bersetuju dan masih meletakkan harapan kepada Barisan Nasional, manakala 16 peratus lagi tidak dapat menjangkakan parti mana yang akan menang," demikian menurut laporan yang diterbitkan Panel Penyelidikan Ilham Centre berdasarkan temubual yang dijalankan daripada 18 sehingga 21 Ogos lalu.

Setelah kaji selidik dilaksanakan, tambah laporan itu, hasil dapatan menunjukkan 53 peratus responden menyatakan calon BN sangat bermasalah kerana rata-rata pengundi percaya bahawa Rohaizat Othman tidak berintegriti kerana terlibat dalam isu penarikan sijil guaman sehingga terlucutnya kelayakan termasuk isu peribadi beliau yang dikatakan beristeri dua.

"Hanya 36 peratus responden menyatakan beliau bersih dan 11 peratus lagi menyatakan tidak pasti," tambah laporan tersebut.

Kajian Ilham Centre yang melibat sekitar 200 pengundi berdaftar termasuk penduduk N11 Permatang Pasir itu terdiri daripada 158 orang pengundi Melayu (79 peratus), 25 Cina (12 peratus) dan 17 India (9 peratus).

Menurut laporan tersebut, kaedah persampelan itu dibentuk dengan mengambilkira jumlah pengundi berdaftar dan penduduk di setiap Unit Peti Undi (UPU) dalam Dun Permatang Pasir berasaskan parti, pecahan kaum, daerah mengundi, lokaliti kawasan, jantina, umur dan pekerjaan.

Sementara itu, kawasan atau lokaliti kajian yang dipilih adalah sekitar Dun Permatang Pasir melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di sembilan buah UPU; (Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kg Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross-Street 2 dan Permatang Tengah.

"Hasil tinjauan menyimpulkan bahawa pengundi di Permatang Pasir lebih cenderung menyokong PAS manakala BN menghadapi saingan yang sukar dan amat sengit untuk merampas kerusi N11 Dun Permatang Pasir ini," laporan itu dipetik.

Ralat bagi kaji selidik ini adalah ±1.62 peratus.

Tiada ulasan: