Sabtu, 1 Ogos 2009

AS 1Malaysia sasar pulangan tinggi

Oleh Norfatimah Ahmad dan Kamarulzaidi Kamis


KUALA LUMPUR: Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) disasarkan memberikan pulangan lebih tinggi daripada kadar yang dibayar bagi pelaburan bon kerajaan yang kini antara 3.7 peratus dan empat peratus setahun.

Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Malaysian Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata matlamat AS 1Malaysia adalah untuk menjana pendapatan konsisten kepada pelabur, di samping mengekalkan modal pelaburan mereka dalam tempoh jangka panjang melalui pelaburan dalam saham pelbagai sektor dan instrumen kewangan lain.

“Mengenai pulangan, ia berdasarkan keadaan (ekonomi dan pasaran) semasa. Umumnya, penanda aras dana ini adalah hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) dengan tempoh matang lima tahun yang kini antara 3.7 peratus hingga empat peratus.

“Namun, beberapa dana PNB sudah menawarkan pulangan setinggi 6.3 peratus,” katanya pada sidang media sempena pelancaran AS1 Malaysia, semalam.

Dana itu akan dilaburkan dalam pelbagai saham syarikat disenaraikan di di Bursa Malaysia atau bursa saham luar negara yang diiktiraf, saham syarikat tidak tersenarai, instrumen pelaburan berpendapatan tetap, pasaran wang serta instrumen pasaran modal lain.

Hamad Kama Piah berkata, buat masa ini PNB hanya akan melaburkan dana itu dalam negara walaupun memiliki pilihan untuk melabur di luar negara.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), iaitu pengurus AS 1Malaysia tidak bercadang mengenakan caj jualan bagi dana itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika ASNB perlu mengenakan caj itu pada masa akan datang, pelabur akan dimaklumkan.

Hamad Kama Piah berkata, untuk melanggan unit AS 1Malaysia, pelabur boleh berbuat demikian di semua pejabat ASNB dan Pos Malaysia mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bermula 5 Ogos ini.

Urus niaga di ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank pula bermula jam 9.15 pagi hingga jam 4 petang bergantung kepada urus niaga bank itu.

AS 1Malaysia yang diperkenalkan untuk semua kaum di negara ini dianggap sebagai pelengkap kepada peranan PNB dalam memberi peluang kepada semua kaum melabur menerusi unit amanah yang diuruskannya.

Sejak 1996, PNB membuka peluang pelaburan kepada semua kaum menerusi pengenalan dana Amanah Saham Wawasan 2020. Ia diikuti Amanah Saham Malaysia pada tahun 2000, Amanah Saham Nasional 3 pada 2001 dan Amanah Saham Gemilang pada 2003.

Sehingga kini 9.5 juta rakyat Malaysia melabur menerusi lapan tabung amanah yang dikendalikan PNB membabitkan 92 bilion unit.

Tiada ulasan: