Sabtu, 25 Julai 2009

Yasmin Ahmad masih koma tetapi stabil

BERITA HARIAN ONLINE


PETALING JAYA: Keadaan pengarah filem, Yasmin Ahmad, 51, masih tidak berubah selepas menjalani pembedahan di kepala akibat serangan angin ahmar di Hospital Pakar Damansara di sini, kelmarin.

Adiknya, Muzaffar Ahmad, 38, berkata Yasmin masih koma dan doktor sentiasa mengawasi setiap perkembangan pengarah itu di hospital berkenaan.

"Berita baiknya, keadaan Yasmin tidak berubah menjadi lebih teruk," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini, semalam.

Kelmarin, Yasmin menjalani pembedahan membuang pendarahan dalam otak di hospital itu selepas pengsan ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, TV3 di sini.

Sebelum itu, pengarah filem Sepet itu mengadu sakit selepas 15 minit membentangkan kertas kerja pada mesyuarat yang membincangkan penghasilan program menerusi stesen televisyen berkenaan.

Dia kemudian pengsan dan diberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) oleh doktor residen TV3 sebelum dikejarkan ke hospital.

Muzaffar berkata, tempoh 48 sehingga 72 jam akan datang dilihat begitu genting buat pengarah filem terbabit.

“Dengan doa orang ramai, kami berharap keadaannya yang kini diberikan sokongan oksigen akan bertambah baik," katanya.

Tiada ulasan: