Rabu, 1 Julai 2009

Waran tangkap terhadap dua penyokong Hindraf

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap dua penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) berikutan gagal hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan bantahan awal yang dikemukakan pihak pembelaan, Mei lalu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat memerintahkan waran tangkap itu dikeluarkan terhadap N Rames, 39, dan M Hari Chandran, 29, selepas Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi membuat permohonan berikutan kedua-dua tertuduh gagal menghadirkan diri.

Mohamad Sekeri kemudian menetapkan 17 Julai ini untuk keputusan bantahan awal yang dikemukakan pihak pembelaan berhubung kertas tuduhan serta tuduhan yang didakwa tidak memenuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas peguam bela, N Surendran memberitahu mahkamah beliau masih belum menjawab reprensentasi yang diterima daripada pendakwaan, pada 23 Jun lalu.

Terdahulu, Azlina memaklumkan empat waran tangkap yang sudah dikeluarkan terhadap K Thirushul Vanan, 23, B Kalai Vanar, 45, L Subramaniam, 29, dan S Letchmanan, 24, masih belum disempurnakan.

Surendran pula memberitahu tiga anak guamnya, M Selvanthan, 47, Sangar Nair, 27, L Subramaniam, 29, tidak hadir ke mahkamah berikutan menghadapi masalah kesihatan.

Beliau turut mengemukakan sijil sakit Selvanthan manakala dua lagi akan dikemukakan kemudian.

Semua tertuduh menghadapi tuduhan sama menyertai perhimpunan haram yang didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga dituduh berada dalam perhimpunan berkenaan yang didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda dan penjara maksimum RM10,000 serta setahun.

Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan dan ingkar terhadap arahan polis supaya bersurai. Jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Bangunan MIDF, Jalan Tun Razak dan persimpangan Jalan Ampang pada 25 November 2007, lebih kurang jam 8 pagi hingga 9 pagi.

Tiada ulasan: