Selasa, 14 Julai 2009

Tiga pelajar paksa gusti sudah digantung sekolah

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah di Dungun dekat sini, yang bertindak menampar, menumbuk muka dan menyepak seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah surau di Kampung Ketengah Jaya, bulan lalu, sudah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Tindakan itu diambil pengurusan sekolah sejak pertengahan bulan lalu selepas menjalankan siasatan berdasarkan maklumat kejadian itu yang disebarkan melalui internet dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, pengurusan sekolah terbabit tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, yang mengesahkannya semalam, berkata polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu selepas mangsa membuat laporan polis, kelmarin.

“Polis akan mengambil keterangan lima pelajar perempuan terbabit. Tiga daripada mereka ialah pelajar Tingkatan Dua, yang didakwa dalang kejadian itu.

"Dua lagi pelajar termasuk seorang yang menjadi mangsa," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di daerah Dungun, membuat laporan polis selepas adegan dia dibelasah rakan karib dalam satu kejadian bulan lalu disebar secara meluas melalui internet dan telefon bimbit.

Mangsa berusia 13 tahun itu membuat laporan polis kerana malu apabila adegan bergusti dirakam tiga pelajar perempuan lain terus disebarkan melalui telefon bimbit, walaupun kejadian terbabit berlaku pertengahan bulan lalu.

Mohd Fauzi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan.

"Polis tidak menolak kemungkinan punca kejadian itu kerana cemburu berikutan mangsa popular di kalangan guru. Mangsa juga seorang pelajar cerdas dan sering mendapat pujian guru, selain dilantik sebagai ketua kelas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Jabatan Pelajaran diarah mengemukakan laporan lengkap berhubung kejadian itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Tiada ulasan: