Khamis, 2 Julai 2009

Tiada larangan - Shabery

UTUSAN ONLINE


SEPANG - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan melarang atlet negara menyertai mana-mana kejohanan sukan di luar negara ekoran wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) sehingga ada arahan yang jelas daripada Kementerian Kesihatan.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini, kementeriannya hanya mengingatkan para atlet mengenai langkah berjaga-jaga terhadap wabak itu.

''Sehingga kini atlet boleh menyertai mana-mana kejohanan di luar negara dan kita akan mengikut panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

''Institut Sukan Negara (ISN) juga akan terus berhubung dengan kementerian berkenaan dan kita hanya akan keluarkan larangan jika ada arahan yang jelas," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika menghantar pasukan Pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VI) bagi menyertai Pertandingan Pancaragam Dunia di Itali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ahmad Shabery mengulas kegusaran atlet dan persatuan sukan mengenai penyertaan mereka dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa ekoran wabak influenza H1N1.

Terbaru penyertaan skuad boling wanita negara ke Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 24 Julai hingga 2 Ogos ini masih kabur berikutan kebimbangan ke atas wabak itu ketika ini.

Tiada ulasan: