Isnin, 27 Julai 2009

Takut meletup, gas asli tak laku - Hanya 40,000 kenderaan terutama teksi menggunakannya

BERNAMA


SHAH ALAM - Bimbang akan berlaku letupan merupakan satu daripada faktor utama kurangnya penggunaan gas asli di kalangan pemilik kenderaan di Malaysia, menurut SIRIM QAS International.

Faktor lain ialah kos memasang peralatan itu agak tinggi dan masalah mencari bengkel yang mendapat kelulusan memasang peralatan tersebut dan juga stesen minyak yang menawarkan gas asli.

"Pada masa ini hanya terdapat kira-kira 40,000 kenderaan, kebanyakannya teksi, yang menggunakan gas asli," kata Ketua Bahagian Mekanikal dan Automotif SIRIM GAS International, Suhaimi Mahmood.

Menurut beliau, adalah selamat dan ekonomi jika orang ramai menggunakan gas asli dengan syarat peralatan dipasang dan diselenggara dengan betul.

"Bahaya menggunakan gas sama seperti menggunakan petrol," katanya.

Di Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen bagi pemasangan tangki gas dan penggunaannya serta tangki itu terlebih dahulu diluluskan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH).

Tiada ulasan: