Selasa, 21 Julai 2009

Siasatan sudah capai 60%


Musa Hassan dikerumuni wartawan sewaktu keluar dari IPK Selangor diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM - Siasatan kes kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock, 30, di Plaza Masalam di sini, Khamis lalu, kini tinggal 40 peratus lagi untuk disiapkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya yakin kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat ekoran perkembangan itu.

"Kes ini telah 60 peratus selesai disiasat. Saya telah arahkan siasatan ini terus dijalankan dan kita akan buat pengumuman hasil siasatan kita nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat perkembangan siasatan kes mendiang Beng Hock di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Taklimat sejam itu disampaikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

Ditanya sama ada polis telah membuat sebarang tangkapan dalam kes itu, Musa memaklumkan tiada penahanan dilakukan setakat ini.

Kes Beng Hock yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah mendapat perhatian umum berikutan kematiannya yang menimbulkan tanda tanya.

Ini kerana beliau ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini, selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Polis yang menjalankan siasatan sehingga kini masih mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai kematian mengejut (SDR).

Tiada ulasan: