Jumaat, 3 Julai 2009

Royalti minyak jadi modal utama kempen

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Pas Kelantan akan menjadikan isu royalti minyak Kelantan sebagai modal utama kempen dan mendedahkan nama pemimpin Umno negeri ini yang didakwanya menggagalkan tuntutan itu, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, 14 Julai ini.

Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata kebanyakan penduduk Manek Urai tidak mendapat maklumat kerana tidak membaca akhbar.

“Kebanyakan penduduk tidak baca akhbar, begitu juga liputan siaran televisyen yang tidak diperoleh di sesetengah kawasan.

“Jadi, 90 peratus kehidupan mereka ditumpukan kepada usaha mencari makan, sebab itu mereka tidak ambil peduli isu nasional.

"Untuk itu, tumpuan kita adalah isu tempatan kerana apa yang menjadi perhatian penduduk Manek Urai sekarang ialah parti manakah lebih diyakini untuk menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk.

“Pas akan menggunakan isu ini sebagai modal nombor satu di Manek Urai kerana rakyat memang emosional menerima kenyataan betapa Kelantan sekali lagi dianaktirikan Kerajaan Pusat,” katanya semalam.

Wan Abdul Rahim berkata, walaupun rakyat Kelantan biasa dianaktirikan sejak 1959, tindakan Pusat tidak membayar royalti petroleum yang didakwa hampir RM1 bilion adalah kemuncak kemarahan.

“Ini tidak selari dengan slogan Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat. Rakyat Kelantan bukan saja marah Perdana Menteri, malah kepada orang Kelantan yang menyokong beliau.

“Kalau tidak kena gaya, kita juga mendedahkan nama pemimpin Umno Kelantan yang menjadi dalang menggagalkan tuntutan royalti hasil petroleum,” katanya.

Tiada ulasan: