Ahad, 5 Julai 2009

Penduduk Dakwa Penempatan Sementara Polis Sebab Bekalan Elektrik Kerap Terputus

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Penduduk di sekitar Manek Urai dan Kampung Laloh merungut berikutan kerap berlaku bekalan elektrik terputus di kawasan mereka sejak beberapa hari lalu.

Wartawan Buletin Online yang bertugas membuat liputan turut mengalami kejadian berkenaan apabila bekalan elektrik terputus dua kali di bilik gerakan UPU Laloh, disini kelmarin.

Seorang penduduk, Azizah Muhamad, 48, berkata sejak hampirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sekarang kerap berlaku terputus bekalan elektrik.

"Dulu mana ada berlaku putus bekalan elektrik ini, jarang sangat berlaku. Sekarang ini apabila hari hujan aje mulalah bekalan elektrik tiada.

”kalau sekejap tidak apa, tapi ia memakan masa yang panjang. Nak buat kerja pun tidak selesa," katanya yang dipetik Bernama.

Azizah berkata, semalam bekalan elektrik terputus dari 4.30 petang sehingga 7 malam.

Menurut seorang lagi penduduk dari Kampung Laloh, Hafizi Abu kamil, 23, penempatan sementara pihak polis di balai polis Kampung Laloh menyebabkan pertambahan keperluan tenaga elektrik.

"Kejadian bekalan elektrik mudah terputus sejak tiga hari lalu. Ada orang cakap gangguan tersebut kemungkinan berpunca daripada penggunaan alat penghawa dingin di markas sementara polis yang mulai digunakan sekarang di Kampung Laloh," katanya.

Tinjauan Buletin Online mendapati penempatan tersebut yang mengandungi lima blok itu adalah satu penempatan yang agak besar.

Secara perbandingan, hanya satu blok kanopi dibina dalam satu DUN bagi penempatan polis pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.

Berbeza dengan Manek Urai, semuanya ditumpukan pada satu tempat sahaja.

Tiada ulasan: