Rabu, 8 Julai 2009

Pemilik mohon perintah masuk rumah Amelina

MYMETRO


SHAH ALAM: Pemilik rumah sewa bekas ratu dangdut, Amelina memfailkan permohonan menggunakan kekerasan munasabah untuk mendapat perintah memasuki kediaman itu bagi menyita barangan penyanyi terbabit untuk dilelong.

Pemiliknya, K Madhavankutty, 47, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret Shah Alam di sini, pada jam 3.30 petang semalam melalui Tetuan Arnold Andrew & Co.

Peguam Arnold Andrew yang mewakili Madhavankutty ketika dihubungi semalam, memberitahu anak guamnya membuat permohonan itu selepas dua kali ke rumah berkenaan tetapi berkunci.

Menurutnya, pihaknya juga akan membawa tukang kunci sekiranya perlu untuk membuka rumah berkenaan.

“Permohonan itu untuk mendapat perintah menyita barangan untuk dilelong bagi menjelaskan sewa tertunggak bulan Mei RM2,700,” katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharifuddin, 35, memohon mengetepikan proses pelaksanaan lelong barang miliknya yang ditinggalkan di rumah sewa ditolak Mahkamah Majistret.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti afidavit dikemukakan peguam Hairul Nizam Omar yang mewakili penyanyi terbabit dan suaminya, Reduan Mahamood, 45.

Beberapa barangan peribadi Amelina termasuk set sofa kayu jati dan beberapa perabot lain dilelong.

Tiada ulasan: