Selasa, 14 Julai 2009

Natrah tidak sempat dengar lagu ‘ikan di laut asam di darat’

BERITA HARIAN ONLINE


NEW YORK: Natrah teringin mendengar lagu dan memiliki cakera padat yang memuatkan lagu ‘Ikan di laut asam di darat’. Hajat hatinya itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda, baru-baru ini.

Natrah menyampaikan hajat untuk mendengar dan memiliki cakera padat lagu itu kepada Hertini Ngah Hashim, 40-an, yang juga anak saudaranya ketika melawat beliau April lalu.

Hertini yang menetap di New York, singgah menziarahi Natrah ketika bercuti ke Eropah.

“Saya memaklumkan hajat Natrah untuk memiliki cakera padat itu kepada kakak yang menetap di Kuala Terengganu dan kami sama-sama berusaha untuk mendapatkan,” kata Hertini yang kini bekerja di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sini, dalam nada kesal.

Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun di Indonesia pada 1942.

Menceritakan lawatannya ke Huijeberen, Hertini berkata, beliau dijemput anak Natrah, Carolein di stesen kereta api Bergen Op Zoom dan terus membawanya ke rumah Carolein, di mana Natrah menunggu kedatangannya.

“Ketibaan saya disambut dengan wajah penuh ceria oleh Natrah. Turut bersama ketika itu suami Carolein, dua cucu Natrah dan anak sulungnya, Franc.

“Natrah sangat fasih berbahasa Indonesia dan kami berbual sehingga lewat malam mengenai pelbagai perkara termasuk kehidupan zaman kanak-kanaknya dan pengalamannya dibawa balik ke Belanda,” kata Hertini yang turut membawa keropok ikan kesukaan Natrah dan 12 helai baju batik ‘kaftan’ sebagai buah tangan.

Antara cerita dikongsi bersama Hertini ialah mengenai pengalaman Natrah hampir terkena tembakan ketika berada di atas kapal ketika berlakunya rusuhan Natrah di Singapura untuk ke Indonesia. Dalam rusuhan itu, 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera.

“Natrah kini tinggal berseorangan di pangsapurinya yang terletak berhampiran rumah Carolein.

“Natrah juga sempat membacakan surah Al-Fatihah dan menyanyi beberapa lagu Melayu Indonesia serta memaklumkan beliau sudah menandatangani surat persetujuan untuk menderma mayatnya selepas beliau meninggal dunia,

“Natrah juga menunjukkan koleksi baju kebaya miliknya dan gambar beliau semasa pulang ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu.

“Beliau juga memaklumkan bapa saya (Allahyarham Ngah Hashim Mohd Dahan) pernah ke Belanda sekitar 1956 untuk menjemputnya balik ke Malaysia tetapi pada masa itu, Natrah sudah berkahwin dan mempunyai anak yang baru berusia setahun,” katanya.

Ketika sarapan keesokan harinya, Natrah turut menceritakan bagaimana beliau dikawal rapi polis Belanda dengan tidak membenarkannya keluar rumah, selepas beliau kembali ke negara itu pada akhir 1950.

“Saya masih lagi terbayang bagaimana wajah Natrah yang berlinang air mata, berdiri di muka pintu rumahnya dalam keadaan cuaca sejuk ketika saya mahu pulang pada hari itu,” kata Hertini dalam keadaan sebak dan tersekat-sekat ketika di temubual baru-baru ini.

Tiada ulasan: