Sabtu, 11 Julai 2009

Malu Sidang Dewan Negara tamat awal

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Negara yang ditamatkan dua hari lebih awal daripada jadual asalnya adalah sesuatu yang memalukan untuk Parlimen Malaysia.

Bekas Senator, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, beliau terperanjat apabila mengetahui sidang Dewan Negara ditamatkan lebih awal daripada yang sepatutnya.

"Masa saya dahulu, kalau hari terakhir saya siap berhujah meminta bilangan hari untuk mesyuarat Dewan Negara ditambah.

"Tetapi sekarang boleh tamat awal pula, ini sesuatu yang memalukan Parlimen," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sidang Dewan Negara yang sepatutnya berakhir Selasa ini telah disingkatkan dan berakhir secara rasmi semalam berikutan segala urusan kerajaan telah diselesaikan.

Mengikut takwim asal, mesyuarat Dewan itu akan berlangsung dari 6 hingga 14 Julai.

Sepanjang empat hari bersidang, Dewan Negara telah meluluskan sembilan rang undang-undang tanpa sebarang pindaan.

Tambah Syed Ali, jika tindakan menamatkan mesyuarat Dewan Negara lebih awal daripada jadual asal menjadi budaya di negara ini dikhuatiri konsep demokrasi berperlembagaan juga akan terjejas.

Katanya, ahli Dewan Negara perlu menggunakan tempoh berlangsung mesyuarat itu dengan sebaiknya untuk berbahas dan memberikan input berhubung rang undang-undang yang ada.

''Jika tidak tahu hendak bercakap apa, mereka boleh meminta bantuan para penyelidik yang ada di Dewan Negara untuk menyediakan butiran berkaitan sesuatu rang undang-undang itu," katanya.

Beliau berkata, sikap tidak tahu, buat-buat tidak tahu dan sekadar memanaskan punggung dengan hanya duduk di bangku Dewan bukan jenis sikap yang boleh diterima di Dewan Negara.

"Setiausaha Dewan Negara sepatutnya memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan semua ahli mengambil bahagian dan berbahas terhadap bil-bil yang ada," katanya.

Menurut Syed Ali, Dewan Negara perlu memainkan peranan mengimbangi Dewan Rakyat.

"Masa saya dahulu, ada beberapa bil yang kami tolak kerana berasakan ia perlu diperbaiki," katanya.

Tiada ulasan: