Isnin, 6 Julai 2009

Majikan yang sudah bayar yuran dibenar bawa masuk amah Indonesia

BERNAMA


PUTRAJAYA: Indonesia hari ini memberi jaminan mana-mana majikan yang sudah membayar yuran kepada agensi-agensi pembekal pembantu rumah di Malaysia dan Indonesia, akan dibenarkan membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia ke Malaysia untuk bekerja dengan majikan berkenaan.

Jaminan itu diberi oleh Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Erman Suparno dalam pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang berlangsung lebih sejam di Kementerian Sumber Manusia, di sini.

Dr Subramaniam, dalam satu kenyataan akhbar berkata kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan penyelaras untuk memastikan semua isu berkaitan pentadbiran pengambilan pembantu rumah dari Indonesia dapat diselesaikan.

Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama yang dijadualkan pada 15 Julai, ini.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa pembantu rumah akan diberi cuti satu hari seminggu oleh para majikan tetapi terpulang kepada majikan dan pembantu rumah untuk menetapkan hari cuti berkenaan.

"Jika cuti tidak diberikan, maka pihak majikan akan membayar pampasan kepada pembantu rumah tersebut," katanya.

"Kementerian Sumber Manusia menjangkakan bahawa cuti satu hari seminggu ini akan dijadikan sebagai satu peraturan melalui pindaan Akta Kerja 1955 di persidangan Dewan Rakyat pada Oktober 2009," katanya.

Dua minggu lalu, kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa negara itu tidak lagi menghantar tenaga buruh untuk bekerja sebagai pembantu rumah ekoran beberapa kes penderaan pembantu rumah Indonesia semasa bekerja di Malaysia.

"Mengenai isu pembantu rumah yang melarikan diri, saya telah meminta pihak Indonesia supaya mengambil langkah-langkah bagi memastikan ia tidak berlaku, atau sekurang-kurangnya mengurangkan kejadian berkenaan.

"Pada tahun lalu sahaja, seramai 8,000 pembantu rumah dari Indonesia telah melarikan diri daripada majikan mereka. Kami juga telah meminta pihak Indonesia supaya liputan insurans kepada pembantu rumah dari Indonesia yang diambil oleh agensi-agensi pembekal pembantu rumah di Indonesia, dilanjutkan untuk meliputi kes pembantu rumah yang melarikan diri.

"Ini untuk memberikan pelindungan kepada majikan-majikan mereka di Malaysia," katanya.

Katanya beliau juga telah meminta kerajaan Indonesia untuk mengkaji semula kadar yuran yang dikenakan oleh agensi pembekal pembantu rumah yang dianggap terlalu tinggi dan mengelirukan.

"Adalah dicadangkan supaya satu kadar standard ditetapkan, dan pihak Indonesia telah bersetuju untuk mengkajinya. Mengenai isu yang dibangkitkan oleh pihak Indonesia seperti pasport pembantu rumah, gaji dan kebajikan mereka, kami telah bersetuju supaya perkara berkenaan diselesaikan oleh Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia pada 15 Julai," katanya.

Katanya beliau juga telah memaklumkan kepada Dr Erman bahawa kerajaan Malaysia telah mengambil langkah tertentu untuk melindungi pembantu-pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

Di antara langkah yang telah diambil ialah memastikan agar setiap majikan membuka akaun bank bagi pembantu rumah mereka supaya pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia dapat memantau pembayaran gaji kepada mereka.

"Langkah lain ialah setiap pembantu rumah dilindungi oleh Akta Pampasan Pekerja.

"Lagi satu ialah kontrak standard akan disediakan oleh JTK untuk ditandatangani oleh majikan dan pembantu rumah mengenai tempoh kontrak dan sebagainya," katanya.

Dr Subramaniam menyifatkan mesyuarat itu sebagai amat baik dan diadakan dalam suasana mesra dan terbuka dan "kami bersetuju untuk berjumpa lebih kerap lagi."

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan itu, Dr Erman berkata kedua-dua negara akan mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai tenaga kerja yang ditandatangani pada Mei 2006.

"Kita perlu mengkaji MoU itu kerana kedua-dua negara telah meluluskan beberapa undang-undang yang tidak selari dengan MoU itu.

"Bagi pihak Indonesia, kami mempunyai undang-undang baru penyeludupan manusia yang dikuatkuasakan pada 2007. Terdapat juga undang-undang bagi autonomi negeri.

"Ia perlu ada beberapa perubahan kepada MoU hasil daripada undang-undang domestik yang diluluskan selepas Mei 2006," katanya.

Katanya kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa bersama Malaysia-Indonesia yang dijadualkan pada 15 Julai.

Bagaimanapun, Dr Erman berkata persoalan utama perjumpaan hari ini ditumpukan kepada komitmen kedua-dua buah negara bagi meningkatkan perlindungan dan layanan terhadap pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia dan mencadangkan sebuah jawatankuasa bersama, yang diwakili kedua-buah belah pihak, ditubuhkan khusus berhubung soal itu.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa bersama pada pertengahan bulan itu akan dapat membincangkan secara terperinci semua isu ini dan "berharap sistem baru itu akan menamatkan semua masalah yang dihadapi pada masa ini".

Katanya kerajaan Indonesia juga mahu menyekat kebanjiran tenaga kerja Indonesia yang datang secara haram ke Malaysia dan memastikan pekerja yang sah diambil bekerja oleh firma yang sah di Malaysia.

Tiada ulasan: