Rabu, 8 Julai 2009

Majikan di minta Memberi Pelepasan Kepada Pengundi Manek Urai

Wartawan Buletin


KUALA KRAI – Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman meminta semua majikan memberikan kelepasan kepada pengundi-pengundi DUN Manek Urai bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 14 Julai akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Kelantan, berharap semua majikan dapat memberikan kerjasama kerana perkara tersebut adalah diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya.

”Kita harap semua majikan dapat memberikan kelepasan yang secukupnya kepada para pekerja yang terdiri dari pengundi-pengundi DUN Manek Urai,

”sekiranya mereka adalah dalam negeri Kelantan, cukup (beri kelepasan) dua atau tiga jam, kalau di pantai Barat atau lain-lain negeri, perlu sehari semalam,

”supaya mereka boleh balik mengundi dan melaksanakan tanggungjawab untuk negara pada 14 Julai akan datang,”katanya.

Oleh itu, beliau mengesyorkan supaya para pekerja terbabit memohon cuti secara rasmi kepada majikan masing-masing.

Namun, katanya sekiranya pihak majikan tidak memberi kebenaran, beliau menyeru agar para pekerja berkenaan tetap pulang dan tidak perlu bimbang sekiranya diambil tindakan oleh pihak majikan.

”Jangan bimbang, sekiranya majikan tidak benarkan, mesti balik untuk mengundi, kita sediakan khidmat guaman percuma, sekiranya ada apa-apa masalah,”tegasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Lajnah Guaman Pemuda PAS Kelantan, Hisham Fauzi ketika ditemui berkata pihaknya telah menyediakan beberapa peguam untuk mengendalikan kes berkenaan sekiranya timbul.

Beliau yang juga seorang peguam berkata para pekerja terbabit dinasihatkan supaya memohon cuti lebih awal bagi memudahkan pihak majikan mereka.

”Kita nasihatkan para pekerja dapat memohon cuti lebih awal, sekiranya ada apa-apa masalah saya sebagai Pengerusi Lajnah Guaman memberikan jaminan akan membela hak-hak pekerja berkenaan,”katanya.

Buletinonline dimaklumkan terdapat 1700 orang pengundi luar DUN Manek Urai yang bekerja di luar Kelantan, samada di Lembah Kelang ataupun di selatan tanahair.

Tiada ulasan: