Khamis, 9 Julai 2009

Kerajaan negeri guna KTN halang Nusmetro

BERITA HARIAN ONLINE

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan menggunakan Kanun Tanah Negara (KTN) bagi menghalang syarikat pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd daripada merobohkan rumah penduduk Kampung Buah Pala di sini.

Seksyen 116 (1)(D) KTN menyatakan pemaju perlu mengemukakan surat permohonan meroboh premis di atas tanah itu dan kerajaan negeri mempunyai kuasa merujuknya ke mahkamah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata mahkamah boleh menangguhkan perintah yang dikeluarkan sebelum itu kerana kebenaran meroboh premis di tanah terbabit perlu mendapat kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.

Katanya, pihaknya akan mengarahkan peguam penduduk, Cecil Rajendra menulis surat berhubungnya sebelum dihantar ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Surat mengenai perkara itu akan ditulis petang ini (semalam) dan dirujuk ke PTG sebelum dihantar ke mahkamah," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, semalam.

Minggu lalu, penduduk perkampungan tradisi kaum India yang berusia lebih 100 tahun itu menerima notis mahkamah supaya mengosongkan kawasan berkenaan sebelum 3 Ogos ini bagi membolehkan pemaju memulakan kerja pembangunan.

Notis itu dikeluarkan selepas perjuangan penduduk untuk mendapatkan hak ke atas tanah seluas 2.6 hektar itu tidak berjaya apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka.

Penduduk yang mendakwa tanah itu diberi milik kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara tidak sah, berkeras tidak mahu berpindah dan mahu kerajaan negeri menyerahkannya kepada mereka.

Mengenai dakwaan penduduk bahawa surat hak milik tanah dikeluarkan oleh PTG ketika pentadbiran Pakatan Rakyat pada 27 Mac 2008, Guan Eng berkata, perkara itu dilakukan selepas urusan pembayaran premium selesai.

"Kerajaan negeri (pimpinannya) tidak terbabit langsung dalam proses pemindahan tanah itu atau meluluskannya. Ia termaktub dalam perjanjian kerajaan negeri terdahulu," katanya.

Beliau turut mengulangi tawaran pampasan RM200,000 kepada penduduk untuk mengosongkan kampung itu.

"Jika ada penduduk yang enggan menerima tawaran itu, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kerajaan negeri tidak mampu membeli tanah berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: