Isnin, 6 Julai 2009

Keluarga dakwa tuntutan saman tidak masuk akal

MYMETRO


KUALA LUMPUR: “Ia mengarut!” kata Daisy Fajanina, ibu kepada Manohara Odelia Pinot, 17, mengulas saman difailkan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra terhadap anaknya itu.

Menurutnya, saman itu nyata mengarut berikutan dia sekeluarga masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan susah seperti sebelum Manohara menikahi Tengku Muhammad Fakhry.

Mengenai saman Tengku Temenggong Kelantan menuntut Manohara kembali taat kepadanya, Daisy berkata: “Tuntutan kembali taat adalah seperti tidak masuk akal kerana anak saya, Monohara didera ketika mereka bersama... bagaimana dia hendak taat kepadanya?”

Semalam, peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari, mewakili Tengku Temenggong Kelantan, memfailkan saman tuntutan kembali taat dan hutang RM972,750 terhadap Manohara.

Saman tuntutan kembali taat difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kelantan mengikut Seksyen 8 (a) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, jam 11.50 pagi.

Manakala, tuntutan hutang RM972,750 difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, mengikut seksyen dan enakmen yang sama.

Mengulas lanjut, Daisy yang dihubungi di Jakarta malam tadi berkata, tindakan saman itu keterlaluan selain bertujuan mengganggu kehidupan anaknya yang kini semakin baik selepas dia kembali ke pangkuan keluarga di Indonesia.

Dia mendakwa tindakan Tengku Muhammad Fakhry bertujuan menutup salah dirinya sendiri selain memerangkap Manohara supaya kembali ke pangkuannya.

“Tuntutan saman itu memang keterlaluan. Mana tidaknya, setahu saya, Manohara tidak pernah berhutang dengannya.

“Dulu dia (Monohara) adalah isterinya (Tengku Muhammad Fakhry) dan semua yang dibelanjakan adalah tanggungjawab Tengku Muhammad Fakhry,” katanya.

Daisy Fajanina berkata, tuntutan hutang dikemukakan Tengku Temenggung Kelantan RM972,750 itu juga mengejutkan keluarganya.

Ketika wartawan Harian Metro cuba mendapatkan kebenaran berbual dengan Manohara, Daisy agak keberatan dengan memberikan pelbagai alasan termasuk mendakwa anaknya `sedang bekerja’.

Tiada ulasan: