Khamis, 23 Julai 2009

'Kami sekeluarga gembira'

Oleh TAN MING WAI


KAJANG - Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menyambut baik keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Kaji Peraturan Soal Siasat SPRM melibatkan mendiang yang mencetuskan kontroversi sejak minggu lalu.

Adik perempuan Beng Hock, Lee Lan, 29, berkata, keluarganya berharap siasatan yang akan dikendalikan suruhanjaya itu mampu mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan untuk abangnya.

"Kami sekeluarga gembira dengan keputusan ini dan berharap hasil siasatan dapat diperoleh secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.

Kabinet hari ini bersetuju menjalankan prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian Beng Hock selain menubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji kaedah soal siasat yang diamalkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM).

Turut hadir memberi keterangan hari ini ialah tunang Beng Hock, Soh Cher Wei, 28; bapa mendiang, Leong Hwee, 62, dan abangnya, Beng Kee, 33.

Mereka yang ditemani peguam, Eric Tan Pok Shyang dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng tiba di IPD itu pukul 3 petang dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, menurut Lip Eng, soalan yang ditanya polis kepada ahli keluarga mangsa adalah mengenai kehidupan peribadi Beng Hock sejak kebelakangan ini.

"Polis tanya perkara seperti sama ada Beng Hock dibelenggu masalah kewangan, hubungan, masalah kerja yang menjurus kepada petanda kemungkinan dia membunuh diri.

"Keluarga si mati bagaimanapun menolak semua kemungkinan itu kerana semuanya dalam keadaan baik," katanya.

Tiada ulasan: