Khamis, 9 Julai 2009

JMB :1,000 pemaju Selangor hadapi tindakan denda

TV SELANGOR


Kira-kira 1,000 pemaju di Selangor diberi tempoh sehingga Ogos ini untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body) bagi projek-projek pembangunan rumah bertingkat yang dilaksanakan.

Jika gagal, mereka mungkin menghadapi tindakan denda RM20,000 dan RM500 setiap hari, sehingga badan pengurusan itu diwujudkan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan itu Februari lalu kepada pemaju terbabit yang kebanyakannya melaksanakan projek di Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya.

“Kebanyakan pemaju yang ingkar dengan arahan itu mempunyai kepentingan untuk mengaut keuntungan yang lebih, antara 2 hingga 3 juta ringgit setahun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia di Shah Alam, hari ini.

Seminar dua hari itu dihadiri hampir 200 peserta terdiri daripada pengamal undang-undang, pegawai perancang bandar, arkitek, jurutera dan pegawai penguatkuasa PBT dari seluruh negara.

Iskandar berkata, setakat ini hanya 26 peratus pemaju telah menubuhkan badan pengurusan bersama itu dan ia menyukarkan lagi pelaksanaan meter air individu, berbanding meter pukal yang digunakan sekarang.

Justeru, pengguna di rumah bertingkat berkenaan tidak dapat menikmati bekalan air percuma 20 meter padu pertama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, selepas memenangi pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Terdahulu dalam ucapannya, Iskandar meminta pegawai-pegawai penguatkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.

Kelemahan ini, katanya akan menyebabkan kakitangan dan pegawai yang mengendalikan isu pendakwaan dan penyiasatan, dicabar di peringkat mahkamah dan Lembaga Rayuan.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan penguasa tempatan supaya lebih berhati-hati dan tabah menghadapi ancaman-ancaman yang diterima semasa menjalankan tugas.

Tiada ulasan: