Khamis, 2 Julai 2009

Harakah edisi terbaru jadi tumpuan...

Jimadie Shah Othman


Akhbar rasmi PAS, Harakah keluaran terbaru - yang mula diedarkan hari ini - menjadi tumpuan ramai ekoran laporan yang menyatakan pencetakannya dihentikan sementara, bagi membuang artikel mengenai isu kerajaan perpaduan tulisan seorang ahli jawatankuasa pusat parti itu.

Artikel tersebut tulisan ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang bertajuk "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?".

Difahamkan, artikel tersebut asalnya dimuatkan dalam sisipin akhbar itu, Fikrah.

Tulisan beliau itu pada mulanya disiarkan dalam edisi di talian - Harakahdaily - tetapi kemudiannya turut dibuang.

Tidak dapat dipastikan tarikh ia dibuang, tetapi ia menjadi buah mulut di kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri, termasuk di internet.

Dan artikel yang sama turut disiarkan dalam akhbar Harakah, menyebabkan percetakannya terpaksa dihentikan sementara untuk membolehkan ianya dibuang.

Semakan Malaysiakini dalam Harakah edisi terbaru itu mendapati ia tidak memuatkan tulisan bekas pengarah penyelidikan PAS pusat itu.

Sementara itu, Ketua Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: