Isnin, 6 Julai 2009

Galian disah emas tipu

MYMETRO


ALOR STAR: “Emas yang dijumpai penduduk di tapak kuari Kampung Jelutong adalah emas tipu atau dikenali sebagai ‘fool’s gold’ berikutan warnanya yang seakan-akan emas. Ia batu biasa dan boleh dijumpai di mana-mana di negara ini,” Kata Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Zainol Husin, semalam.

Malah, hasil kajian dijalankan pihaknya mendapati tiada galian emas di Kedah.

Pengesahan itu memadamkan impian lebih 400 penduduk kampung berkenaan dan kawasan sekitarnya untuk memperoleh ‘durian runtuh’ selepas menyerbu tapak kuari berkenaan siang dan malam sejak Rabu lalu bagi mencari emas.

Zainol, berkata batuan atau mineral itu adalah jenis Pyrite atau Arsenopyrite dengan warna kekuningan pudar yang menyerupai emas.

“Tiada emas di Kedah apa yang ditemui adalah batu biasa yang mengandungi warna keemasan seakan-akan emas yang dikenali sebagai ‘fool’s gold’ atau emas tipu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, semalam.

Zainol berkata demikian selepas mengadakan tinjauan dan kajian bersama beberapa pegawainya di lokasi berkenaan pagi semalam.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan lebih 400 penduduk Kampung Jelutong dan sekitar daerah Pendang, kira-kira 30 kilometer dari bandar raya ini menyerbu tapak kuari berkenaan selepas berita penemuan emas di kawasan itu tersebar luas sejak Rabu lalu.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengarahkan kuari berkenaan ditutup sekiranya batu yang ditemui penduduk itu disahkan emas.

Zainol berkata, mineral yang ditemui penduduk itu tiada nilai kerana jumlahnya terlalu kecil dan ia hanya boleh digunakan sebagai sulfat, asid bahan api atau belerang.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita seperti itu. Mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari emas di kawasan itu kerana ia memang tiada,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di tapak kuari berkenaan pagi semalam mendapati ia ditutup kepada orang ramai berikutan kerja mengangkut batu dijalankan.

Seorang pekerjanya ketika ditemui berkata, sehingga petang kelmarin, orang ramai masih mengunjungi tapak kuari berkenaan bagi mencari batu yang didakwa emas itu.

1 ulasan:

Naruto Sensei berkata...

Baguslah tu lepas tu kewasan tu jadi kawasan larangan Kerajaan Pusat dan depa pulak lah yang melombong Emas pula macam di lubuk Mandi Sekarang..

Hampeh