Sabtu, 4 Julai 2009

Farawahida terima SMS ugutan bunuh

FARAWAHIDA buat empat laporan polis.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Farawahida Razali mendakwa menerima ugutan bunuh, selain ancaman video dan gambar lucahnya disebarkan kepada umum daripada lelaki yang juga bekas majikannya.

Sejak menerima pelbagai ugutan bermula tahun lalu, artis berusia 24 tahun itu membuat empat laporan polis termasuk terbaru mengenai ancaman penyebaran video dan gambar lucahnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Rabu lalu.

Dalam laporan pertama di Klang, Selangor pada 6 November lalu, Farawahida mendakwa lelaki itu mengugut dengan kata, ‘suatu hari nanti kalau aku dah tak tahan, aku akan bunuh kau.’

Penyanyi itu mendakwa lelaki sama menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memaki dirinya sebagai, ‘perempuan tidak guna, perempuan sundal' manakala ibunya dikecam ‘sanggup jual anak dan pengikis.’

Farawahida mendakwa menerima SMS, ‘jangan balik ke rumah, barang kamu dah hancur dan rumah berkunci.’ Sebelum ini, Farawahida dilaporkan tinggal di rumah sewa yang perjanjian sewa atas nama lelaki itu.

Penyanyi itu membuat laporan di kampungnya, Taiping 1 Mac lalu kerana dia dan keluarga terus menerima SMS lucah dan ugutan. Ugutan penyebaran video dan gambar lucahnya turut diterima kakak Farawahida menerusi SMS, Sabtu lalu.

Penyanyi itu mendakwa ugutan dipercayai berkaitan keengganannya terus bekerjasama dengan lelaki terbabit sebagai artis rakaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, semalam mengesahkan laporan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan untuk menyebabkan kematian atau cedera parah.

Tiada ulasan: