Khamis, 23 Julai 2009

Ekstasi bernilai setengah juta dirampas di Muar

BERNAMA


JOHOR BAHARU: Polis merampas dadah ekstasi bernilai kira-kira RM500,000 hasil penahanan ke atas empat orang termasuk seorang wanita warga China yang dipercayai anggota sindiket memproses dan menyeludup dadah di Muar minggu lepas.

Dadah yang dirampas itu berupa lebih 11,000 pil dan hampir 7,000 gram serbuk ekstasi, yang dipercayai untuk diedar di sekitar Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata polis pada mulanya menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berumur 27 dan 23 tahun di sebuah rumah di Jalan Somerville, Gerisek kira-kira 11 malam Selasa lalu.

Di rumah itu, polis menemui beberapa alat memproses dan menyeludup dadah serta merampas 273 gram serbuk dan 34 pil dipercayai ekstasi.

Lelaki tersebut yang mempunyai rekod dadah turut didapati positif metampetamin dan ampetamin, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Siasatan ke atas kedua-duanya membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berumur 49 tahun kira-kira 3 pagi pada keesokan harinya, ketika dia sedang memandu kereta di Jalan Pekan, Sungai Mati, Ledang. "Polis menemui 20 pil ekstasi di dalam keretanya," kata Mohd Mokhtar.

Beliau berkata daripada maklumat yang diperolehi dari lelaki terbabit, polis seterusnya menggeledah pula sebuah rumah di Taman Sri Saujana dua jam kemudian di mana seorang wanita warga China berumur 31 tahun telah ditahan bersama beberapa peralatan memproses dadah, 10,967 pil ekstasi dan 6,681 gram serbuk ekstasi.

Dalam kes berasingan, dua lelaki dipercayai melakukan samun tepi jalan di sekitar Johor Baharu ditahan di Jalan Sri Wangi, Taman Industry Plentong kira-kira 4 pagi semalam.

Mereka yang berumur 30 dan 37 tahun dari Sungai Siput, Perak dan Jinjang, Kuala Lumpur ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta.

Mohd Mokhtar berkata polis turut menemui sebuah topi yang mempunyai logo polis, topi askar, dua pistol mainan dan alat pemotong.

Sementara itu beliau berkata polis sedang mencari seorang lelaki Sri Lanka berumur 39 tahun bernama Sam @ Mohammad Razue bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy awal tahun lalu.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai lelaki Sri Lanka itu diminta menghubungi DSP Nor Hashim di talian 072232222 atau balai polis berdekatan.

Tiada ulasan: