Khamis, 9 Julai 2009

DAP Kedah sedia sertai semula PR

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: DAP Kedah bersedia menyertai semula Pakatan Rakyat negeri itu selepas mendapat jaminan kerajaan negeri semua isu dalam pertikaian, termasuk tempat pemotongan babi dan rumah ibadat diselesaikan.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, berkata DAP Kedah akan menimbang saranan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang meminta mereka mengkaji semula pendirian keluar Pakatan Rakyat negeri sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Perak berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Lim di Pusat Perniagaan Kedah di sini, semalam.

Terdahulu, Lim menyarankan DAP Kedah menyertai semula Pakatan Rakyat negeri demi kepentingan semua parti dalam pakatan itu.

Sebelum itu, Lim dan Azizan mengadakan pertemuan tertutup hampir 40 minit membincangkan memorandum dikemukakan DAP Kedah kepada kerajaan negeri berhubung isu membabitkan masyarakat bukan Melayu.

Tiada ulasan: