Selasa, 21 Julai 2009

CCTV buktikan mangsa tak tinggalkan SPRM

Oleh NORHAYATI YAHAYA


SHAH ALAM - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Plaza Masalam di sini membuktikan Teoh Beng Hock, 30, tidak keluar dari bangunan tersebut selepas masuk ke premis itu Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pemeriksaan ke atas imej CCTV menunjukkan Beng Hock iaitu setiausaha politik kepada Pengerusi JawatanKuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Selangor, Ean Yong Hian Wah masuk ke bangunan itu pada petang 15 Julai.

Bagaimanapun, sejak masuk ke bangunan itu, dia tidak dilihat meninggalkan premis tersebut sehingga mayatnya ditemui pada pukul 1.30 petang sehari kemudian.

Sehubungan itu, Khalid berkata, polis telah mengambil kenyataan daripada 33 orang bagi membantu siasatan termasuk 25 percakapan daripada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim dan pegawai penyiasatnya.

Kata beliau, polis seterusnya akan merakam percakapan Hian Wah dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan.

Menurut Khalid, Beng Hock didapati telah berhubung dengan Hian Wah dan Manoharan sebelum dia disoal siasat oleh SPRM.

Tiada ulasan: