Jumaat, 24 Julai 2009

AP mungkin dihapus - TPM

Oleh SAHBULAH DARWI dan AZAN FITRI


JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem Permit Import (AP) mungkin tidak akan kekal selamanya kerana ia tidak lagi konsisten dengan peraturan global termasuk Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Timbalan Perdana Menteri berkata, di bawah WTO, sistem itu dianggap sebagai sekatan perdagangan antarabangsa, dan negara-negara anggota termasuk Malaysia harus menamatkan AP untuk memastikan sistem perdagangan liberal dan terbuka.

"Sistem yang lebih liberal dan terbuka seperti itu menguntungkan negara-negara berorientasi eksport seperti Malaysia untuk memperoleh manfaat daripada pasaran terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bangunan Mutiara Motors 3S, Karnival Automotif dan Pelancaran Produk M7 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin.

Muhyiddin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah melaksanakan audit ke atas semua syarikat pemegang AP termasuk pemegang AP terbuka.

Katanya, ia dilakukan bagi melihat kemampuan syarikat berkenaan dari sudut kewangan dan pengurusan syarikat serta pematuhan kepada garis panduan ditetapkan.

"Saya dimaklumkan masih terdapat syarikat-syarikat pemegang AP terbuka yang tidak mematuhi garis panduan pentadbiran yang telah ditetapkan.

"Kita memandang serius terhadap ketidakpatuhan ini kerana ia boleh menjejaskan usaha kerajaan bagi memastikan penyertaan berterusan bumiputera dalam industri automotif terutamanya dalam pengedaran kenderaan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan audit tersebut, syarikat Mutiara Motors antara lima buah syarikat yang berjaya mempelbagaikan aktiviti dalam sektor automotif lain.

"Ahmad Kemin adalah usahawan kereta yang berjaya dan boleh dijadikan contoh kerana menjadi pemilik AP tulen iaitu menggunakannya sendiri," katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat bumiputera perlu sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dengan meningkatkan tahap piawaian produk-produknya.

"Setakat ini, sebanyak empat Standard Malaysia (MS) telah dijadikan standard mandatori dalam Kaedah Pembinaan dan Kegunaan 1959 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menjelang Ogos 2009, sebanyak 41 lagi Standard Malaysia akan diwartakan dan dijadikan mandatori," jelasnya.

Menurut Muhyiddin, penting bagi syarikat-syarikat pengimport kenderaan mempelbagaikan aktiviti perniagaan untuk memastikan mereka terus mampu beroperasi dalam pasaran yang semakin terbuka berikutan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, komitmen itu membabitkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di peringkat serantau seperti AFTA, ASEAN-China, ASEAN-Korea, perjanjian dua hala dengan negara-negara lain seperti Jepun dan Pakistan serta lain-lain kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang.

Selain itu, industri automotif amat penting kerana menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada sejumlah 200,000 pekerjaan.

Katanya lagi, bagaimanapun, jumlah jualan kenderaan bermotor bagi tahun ini dijangka menurun sebanyak 12.4 peratus iaitu dalam lingkungan 480,000 unit ekoran masalah ekonomi global.

"Apa yang lebih membanggakan di sebalik situasi yang tidak menentu ini, bagi tempoh Januari hingga Mei 2009, Malaysia telah berjaya merampas kembali kedudukan dari Thailand yang menguasainya sejak 2003, sebagai pasaran terbesar ASEAN dengan jualan sebanyak 200,760 unit," jelasnya.

Tiada ulasan: