Sabtu, 11 Julai 2009

738 Permohonan Lulus Dalam Program Pemutihan

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Sejumlah 738 permohonan pemutihan kilang tanpa kebenaran di atas tanah pertanian sudah diluluskan, kata Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Kelulusan itu membolehkan pejabat tanah daerah, mengutip premium lebih 76 juta ringgit, sejak kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor 8 Mac, tahun lalu.

Daripada angka ini, 738 permohonan sudah diluluskan dan jumlah premium tambahan yang berjaya dikutip oleh pejabat tanah daerah sehingga kini adalah sebanyak RM76,495,388.10.

Demikian kata Ean Yong pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 di dewan negeri selangor, petang tadi.

Menurutnya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pegawai pejabat daerah dan jabatan teknikal, bagi menyeragamkan syarat teknikal minima dan menambahbaik program pemutihan kilang haram sedia ada di Selangor.

Beberapa isu dan cadangan penambahbaikan telah dikenalpasti melalui beberapa siri perbincangan yang diadakan bersama pegawai-pegawai dari pejabat tanah daerah dan jabatan teknikal yang berkenaan serta wakil-wakil daripada beberapa Persatuan Pengilang dari beberapa kawasan padat kilang tanpa kebenaran. Cadangan ini termasuk penyeragaman syarat teknikal minima dan cadangan penambahbaikan program pemutihan kilang tanpa kebenaran di negeri Selangor.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata masalah pemilikan tanah di kampung baru negeri Selangor, berlarutan sejak pentadbiran Barisan Nasional lagi.

Menyentuh mengenai isu hak milik tanah di kampung baru. Dasar kerajaan negeri adalah untuk menyelesaikan masalah hak milik tanah kampung baru di seluruh Selangor. Kampung Baru sudah wujud sejak tahun 1948, maka kita berasa hairan mengapakah pentadbiran lepas tidak rela dan mampu untuk memberikan hak milik tanah kepada sesetangah penduduk di kampung baru padahal mereka telah menetap di situ malahan ada yang lebih awal lagi.

Sejak Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Selangor, sebahagian masalah tersebut berjaya diselesaikan, melibatkan lebih 60 penduduk kampung baru.

Sejak 8 Mac tahun lepas hingga hari ini, Kerajaan Pakatan Rakyat sudah menyelesaikan masalah hak milik tanah di beberapa kampung baru seperti di Kampung Bukit Angkat, Kajang. 22 pemohon sudah mendapat kelulusan dan borang 5A dari Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat awal tahun ini. Kebanyakan mereka telah mengemukakan permohonan sejak 10 tahun yang lalu.

Di Kampung Baru Gurney, Ulu Yam Baru, lebih 60 penduduk sudah membayar premium tanah dan tetapi tidak memperolehi geran tanah selama 5 tahun. Oleh kerana Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, kita sudah selesaikan masalah ini secara beransur-ansur. Penduduk kampung baru sudah mula mendapat geran mereka masing-masing sejak tahun lepas.

Tiada ulasan: